Malaysia Dateline

Rakan harap rahmat Maulidur Rasul berkati Karmaine

Kurang dari 24 jam tempoh berkempen, wartawan berpeluang juga mengikuti program calon Pakatan Harapan (PH), Karmaine Sardini sehingga ke tempat kelahiran beliau di Kampung Teluk Kerang dan berjumpa beberapa penduduk di sana.

Raya-rata penduduk di sana mengharapkan yang terbaik untuk bekas Imam Masjid Al-Mutaqqin itu biar apa pun keputusannya, menang atau kalah.

Nasir Hussin, 65.

Penduduk, Nasir Hussin, 65, berharap agar rahmat Maulidur Rasul hari ini akan memberkati perjalanan Karmaine dalam menghitung masa menunggu hari pengundian yang ditetapkan akan berlangsung esok.

Mengenali Karmaine sebagai bekas guru di Sekolah Menengah Kebangsaan Telok Kerang, Pak Nasir malah memberi janji akan menyokong Karmaine yang juga rakan baiknya ketika waktu sekolah dahulu.

“Kita sama-sama berdoa moga Allah buka hati pengundi lain untuk mengundi tuan Haji Karmaine. Harapnya berkat hari mulia Maulidur Rasul, akan memberi kemenangan kepada Karmaine.

“Kadang lepas solat, saya berdoa untuk Karmaine. Saya sendiri ada niat nak belanja kawan-kawan kalau beliau menang di Tanjung Piai. Dia kawan saya,” katanya yang merupakan penduduk Parit Sulaiman dan akan mengundi di Sekolah Kebangsaan Teluk Kerang.

Sementara itu, Ismail Shaher, 69, mendoakan agar segalanya berjalan dengan baik untuk rakan sepermainanya waktu kecil, Karmaine Sardini.

Ismail Shaher, 69.

Sambil menyifatkan Karmaine sebagai seorang yang merendah diri, Ismail meletakkan harapan agar Ketua Bersatu Bahagian Tanjung Piai itu dapat mengambil alih Tanjung Piai.

“Saya doakan dia mudah-mudahan Karmaine menang dan dapat jadi calon. Dia seorang yang baik, dari kecil saya makan tidur dengan dia. Kami satu kampung dan sangat kenal sifat peribadinya yang menyenangkan hati.

“Dalam solat pun saya mendoakan kejayaan dia, saya yakin dia akan bawa kesejahteraan pada penduduk. Harapnya penduduk bijak lah menilai, undi dan sokonglah calon Melayu yang saya kira pilihan yang baik,” ujarnya.

Sementara itu, Karmaine yang hadir dalam program Maulidur Rasul di Kampung Teluk Kerang hari ini menzahirkan ucapan terima kasih dan meminta agar dititipkan doa yang terbaik untuknya.

“Hari ini hari terakhir saya berkempen tapi kita santai-sntai sikit lah sebab Jumaat. Walaupun ada yang datang ni bukan pengundi, saya minta semua doakan saya. Ini demi kepentingan kerajaan pemimpin Pakatan Harapan,” katanya yang kemudiannya bersalam dengan para penduduk yang hadir.

Untuk rekod, Pada pilihan raya umum yang lepas, Karmaine telah bertanding di kerusi Parlimen Pontian, namun tewas kepada Datuk Seri Ahmad Maslan dari Barisan Nasional.

Ahmad menang tipis dengan memperoleh 21,232 undi, manakala Karmaine meriah 20,299.