Malaysia Dateline

Rakan PN kesal Ku Nan tunjuk kemewahan ketika rakyat susah

Bekas ahli majlis kepimpinan PKR, Badrul Hisham Shaharin atau Chegu Bard mengkritik Ahli Parlimen Putrajaya, Datuk Seri Tengku Adnan Tengku Mansor yang menunjukkan kemewahan semasa majlis perkahwinan anak lelakinya semalam.

Beliau berkata, Ku Nan melakukan kesilapan dalam menguruskan persepsi lebih-lebih lagi apabila kerajaan ketika ini sedang sibuk membina naratif membela rakyat.

Perkara berkenaan katanya, akan menimbulkan cakap-cakap dari rakyat terutama tentang isu ‘kabel besar’.

“Rakyat akan bercakap bukan sahaja bab mewah tetapi kalau tanpa kabel besar pasti tidak akan boleh tutup jalan dan buat depan Istana Kehakiman

“Kepada semua yang membina kerajaan PN tak kiralah Umno atau apa sahaja, rakyat sedang susah. Kita sedang membina naratif membela rakyat.

“Imej yang terbina dalam kesungguhan pemimpin seperti Perdana Menteri, akan terjejas dengan ‘show off’ melampau seperti ini.

“(Sama seperti) tindakan ketua pemuda Umno bahagian yang membeli motor paling mahal dalam duniandan dilaporkan di media,” katanya dalam satu hantaran Facebooknya.

Beliau juga menasihatkan supaya Ku Nan mengasihani ‘rakan-rakan’ mereka yang lain yang sedang bersungguh mengukuhkan kerajaan PN.