“Raket pinjam, kasut koyak”, rupanya ini kisah sebalik video budak guna selipar ambil gambar

Oleh WAN SITI AMINAH

Baru-baru ini tular satu rakaman memaparkan seorang kanak-kanak menyandarkan telefon bimbit di selipar untuk mengambil gambar bersama pingat, sijil dan hadiah.

Difahamkan, kanak-kanak berusia lapan tahun itu ingin merakamkan pencapaiannya selepas menyertai Kejohanan Badminton di Kampung Muhibbah Bal, Tawau, Sabah.

Kanak-kanak itu berusaha mengambil sendiri gambar dengan menggunakan selipar sebagai penyandar selepas permintaannya kepada orang sekeliling tidak dihiraukan.

Terharu menonton video tersebut, seorang aktivis kebajikan dikenali sebagai Adrian Edy merancang pertemuan dengan kanak-kanak itu untuk menghulurkan bantuan.

Rupa-rupanya, kanak-kanak bernama Nubhan itu datang daripada latar belakang keluarga yang tergolong di dalam kumpulan B40 dan juga kurang berkemampuan.

“Apabila menonton video itu, rasa terharu dengan semangat adik Nubhan dan terus terdetik di hati untuk bertemu dan berikan dia sedikit hadiah. Terus gerak ke Tawau bersama kumpulan saya untuk bertemunya.

“Adik Nubhan berumur lapan tahun. Dia memang minat main badminton dan semasa kejohanan hari itu, dia pinjam raket daripada kakaknya. Kasut pula ada kawan ibu dia yang berikan.

“Dia rasa rasa gembira sangat hari itu. Sebab itulah pertama kali dia ikut kejohanan dan dapat menjadi naib johan. Sedangkan lawan dia pada kejohonan itu semuanya besar daripada dia,” tulis Adrian dalam satu hantaran di Instagram.

Dalam hantaran sama, Adrian mengakui sangat bersimpati melihat rakaman Nubhan yang berusaha mengambil gambar sendiri walau tidak dipedulikan orang sekeliling.

Adrian turut mengambil kesempatan untuk memberi hadiah berupa raket badminton, kasut, stoking dan baju yang dicetak nama Nubhan kepada kanak-kanak berkenaan.

@adrianedy7

Terharu nampak video adik Nubhan yang tular, dia pertama kali ikut kejohanan dan menang, masa tu semua orang sibuk tidak dapat tolong dia ambil gambar, kita gembirakan dia dengan hadiahkan dia raket, kasut dan baju, moga adik Nubhan berjaya capai cita cita dia 🤍 #fyp #adrianedy

♬ original sound – Adrian Edy – Adrian Edy

“Gembira adik Nubhan apabila dapat hadiah. Terus dia pegang raket dan bertanya, ‘mahalkan raket ini abang?’. Comel adik Nubhan, malu malu dia. Kasut miliknya pula hampir rosak, ada sedikit koyak sebab sudah dua tahun dia pakai.

“Stoking pula dia hanya pakai yang sekolah punya sahaja. Ayah adik Nubhan kata, belum mampu lagi belikan adik Nubhan kasut baru memandangkan dia juga kerja sendiri sahaja.

“Nubhan juga ada adik-beradik yang lain untuk ditanggung. Ayah dan ibu Nubhan tidak henti-henti ucap terima kasih kepada kita sebab sudi gembirakan anak mereka,” kongsi Adrian dalam hantaran itu.

Menurut Adrian, kanak-kanak itu amat meminati lagenda badminton negara, Datuk Lee Chong Wei dan bercita-cita mahu mewakili Malaysia ke sukan Olimpik satu hari nanti.

Rakaman pertemuan Adrian bersama Nubhan itu turut dimuat naik di akaun media sosial TikTok miliknya.

Baca juga: Tular video warga emas 80 tahun kahwini anak dara 18 tahun