Raksasa meluru datang, merbuk lari terbang?

Raksasa meluru datang, merbuk lari terbang?

ULASAN Belum bentang lagi tetapi sudah minta sokongan. Ada peluang bentang, hanya sekadar baca kemudian minta pula ditangguhkan huraian. Bukan sekali tetapi dua kali Presiden Pas, Datuk Seri Abdul Hadi Awang berbuat demikian pada tahun lalu.

Isu RUU 355 atau lebih tepat “usul Hadi” tidak lebih sekadar sandiwara Pas untuk memainkan sentimen agama. Mula-mula pada 26 Mei 2016 iaitu 10 hari sebelum penamaan calon bagi Pilihan Raya Kecil Dewan Undangan Negeri (Dun) Kuala Kangsar dan Sungai Besar. Sekali lagi, Abdul Hadi pada 24 November minta tangguh bukannya terus menghuraikan pindaan terhadap usul asalnya itu.

Akhirnya, tarik tali “usul Hadi” itu direntap Najib dalam ucapan dasarnya pada Perhimpunan Agung Umno 2016, 1 Disember lalu apabila memberitahu pindaan Akta 355 akan diambil alih pihak kerajaan lantaran ia adalah usul persendirian yang akan dikaji pihak kerajaan.

Walau bagaimanapun, menjelang himpunan RUU 355, Pesuruhjaya Pas Perak, Razman Zakaria misalnya, sudah menyindir keras. Sesiapa yang tidak turun Himpunan Rang Undang-undang (RUU) 355 di ibu negara hari ini dituduhnya sebagai Ahok. Selamba Basuki Tjahja Purnama iaitu Gabenor Jakarta pertama daripada keturunan Cina dan beragama Kristian itu dijadikan sebagai kambing hitam.

Perlambangan Ahok itu sebenarnya mengulang apa sudah ditegaskan Abdul Hadi pada penangguhan usul RUU 355 kali kedua apabila memberi amaran kepada ahli-ahli politik bukan Islam yang mempersoalkan RUU 355 supaya jangan berlagak menjadi Ahok.

Demikianlah gembar-gembur Pas tentang RUU 355 sehingga hari ini yang bakal menyaksikan tidak kurang 20 pidato bermula pukul 2 petang hingga 11 malam di Padang Merbok.

Jadi, adakah majoriti rakyat terlalu naif untuk faham bahawa tingkah laku Abdul Hadi berhubung pindaan Akta 355 yang kemudiannya menyaksikan ramai pemimpin Pas tersengih lebar bersama Najib di atas kapal misi bantuan ke Myanmar baru-baru ini tidak lebih hanya memancing pengundi Melayu?

Apa makna himpunan bertemakan warna ungu itu kalau bukan hanya melengkapkan kitaran hubungan mesra Pas-Umno? Bahkan akhbar Utusan Malaysia mutakhir ini sudah jauh lebih lantang menjadi jurucakap Pas mengalahkan Harakah sebagai akhbar lidah rasmi parti tersebut.

Semalam misalnya, pengarang kanan akhbar yang memusuhi semua parti pembangkang kecuali Pas itu menyebut himpunan RUU 355 sebagai lanjutan daripada program ceramah etnik Rohingya di Stadium Titiwangsa, 4 Disember 2016 yang menyaksikan Abdul Hadi dan Najib Razak sepentas diikuti pelancaran kapal misi bantuan ke Myanmar pada 3 Februari lalu.

“Lambang solidariti ummah” pada tajuk tulisan pengarang Utusan Malaysia itu hanya topeng ketika tidak pula melibatkan pemimpin Islam dari Amanah, PKR mahupun DAP.

Hari ini pula, akhbar sama menyiarkan artikel bertajuk, “RUU 355 dan mereka yang masih jumud” oleh peguam Siddiq Azani sekaligus menggambarkan sokongan pihak Umno terhadap usul yang mulanya konon Abdul Hadi mahu bawa.

Abdul Hadi pada sidang media di lobi Parlimen selepas kali kedua mengumumkan penangguhan usul menyebut partinya akan mengadakan “himpunan aman raksasa”. Kebetulan, lokasi himpunan bernama Merbok yang merujuk pada tanah rendah bunyinya menyamai merbuk, sejenis burung yang bersuara merdu.

Wujud pertentangan ketara antara ciri raksasa dan merbuk yang berimej harmoni dan sering dilihat berpasangan itu. Sampai bila pendekatan Pas yang garang dan memperalat emosional dengan polemik RUU 355 akan terus menghanyutkan kerasionalan masyarakat untuk fokus dan sedar tentang usaha mengatasi masalah sebenar mereka yang ditindas rangkaian kejahatan kleptokrasi rejim Umno-BN?

Mungkinkah merbuk terbang lari bertempiran lantaran kehadiran banyaknya raksasa hari ini? Cukup cukuplah untuk masyarakat tidak terus dikusutkan oleh Pas dengan isu RUU 355 ketika penyelesaiannya sudah terang lagi bersuluh ada di tangan kerajaan Umno-BN sendiri!

TAGS