Malaysia Dateline

Rakuten Trade yakin dengan platform Contra 2.0

Rakuten Trade Sdn Bhd yakin dapat menarik lebih ramai pelanggan dengan platform dagangan kontranya melalui pelancaran ciri-ciri baharu Contra 2.0  baru-baru ini, untuk meningkatkan pengalaman perdagangan pelabur.

Pengarah Urusan Kaoru Arai berkata Rakuten Trade, yang memulakan operasi pada pertengahan 2017, mempunyai 27,000 akaun, lebih 10 peratus daripadanya akaun kontra yang menyumbang 27 peratus kepada pendapatan bulanan syarikat.

Beliau berkata platform dagangan kontra telah mendapat minat yang tinggi daripada peniaga di bawah 40 tahun yang membentuk 80 peratus daripada jumlah akaun sedia ada.

“Bagi platform Contra 2.0, penambahbaikan dibuat berdasarkan maklum balas daripada pelanggan, dan kami percaya ia akan mendapat sambutan yang baik dan akan membantu kami meningkatkan asas pelanggan,” katanya pada taklimat media mengenai Contra 2.0 di sini hari ini.

Arai berkata pelanggan syarikat telah mencatatkan jumlah nilai perdagangan lebih RM3.5 bilion di Bursa Malaysia, satu kejayaan bagi syarikat pemula niaga yang kurang daripada dua tahun dan bukti kepada model perniagaan FinTech.

Beliau mendakwa platform kontra Rakuten Trade sekali lagi mengganggu pasaran berikutan ia menawarkan kemudahan dengan pengganda yang lebih tinggi sebanyak lima kali berbanding broker lain apabila pelabur meningkatkan had perbelanjaan berdasarkan saham berbayar dan tunai yang diletakkan sebagai cagaran.

“Rakuten Trade berharap untuk menarik lebih ramai pelanggan dengan platform itu dalam masa terdekat berikutan ia mempunyai halangan masuk yang rendah berbanding yang lain dengan membolehkan pelanggan mendaftarkan akaun mereka dalam tempoh dua jam, selain menawarkan fi pembrokeran yang paling rendah,” katanya.

Beliau berkata platform Contra 2.0 menawarkan pengurangan fi pembrokeran daripada minimum RM7 hingga RM100 tetap, mencerminkan kemudahan pendahuluan tunai.

Katanya akaun tersebut turut menawarkan program rebat perdagangan harian, yang terpakai kepada fi pembrokeran “jualan” mereka bagi pelabur yang melakukan perdagangan “beli” dan “jual” dengan kerap daripada kaunter sama pada hari sama, yang akan dikreditkan ke akaun mereka pada akhir hari dagangan tersebut.

“Matlamat kami ialah menggalakkan lebih ramai orang melakukan perdagangan dalam talian dan kami percaya dengan melaksanakannya dengan mudah.

“Dengan Contra 2.0 yang ditambah baik, kami yakin kemudahan kami yang dinaik taraf itu akan berjalan lancar dengan pelabur yang berpengalaman dan mereka yang mungkin sebelum ini hanya menggunakan platform Cash Upfront,” katanya.

— BERNAMA