Malaysia Dateline

Rakyat akan checkmate Muhyidin, kata ahli MT Umno

Umno yakin, rakyat akan ‘checkmate’ (mengikat) kerajaan pimpinan Tan Sri Muhyiddin Yassin selepas memohon darurat dalam keadaan sudah tidak ada majoriti lagi.

Ahli Majlis Tertinggi Umno, Datuk Dr Puad Zarkashid berkata, ketika Muhyiddin memohon darurat, kerajaannya bukan lagi majoriti lemah tetapi kerajaan tiada majoriti.

“Muhyiddin dan penyokongnya gembira kononnya Umno kena checkmate sebelum 31 Januari.

“Rakyat akan checkmate kamu,” kata beliau menerusi facebooknya megulas dakwaan Umno dikatakan kena ikat sebelum membuat keputusan dalam Mesyuarat Agung Umno yang dijangka 31 Januari nanti.

Bagi Puad, tidak ada siapa tahu berapa jumlah sokongan terhadap Muhyiddin bila dia diperkenan sebagai Perdana Menteri ke 8.

“Tiada SD, tiada senarai yang didedah sebagai bukti,” kata beliau.

Ia hanya diketahui bila berlaku undian untuk melantik Datuk Azhar Harun sebagai Speaker Dewan Rakyat.

“Rupanya 113 sahaja. Sebab itu Kerajaan PN dikenali sebagai kerajaan majoriti lemah.

“Sekarang tinggal 109 bila Nazri Aziz dan Ahmad Jazlan tarik balik sokongan kepada Kerajaan PN dan Muhyiddin.

“Ini adalah kerajaan tiada majoriti,” kata beliau.

Ekoran itu, katanya, maka timbul isu perundangan apakah Muhyiddin memberi nasihat sejujurnya kepada Yang DiPertuan Agung untuk proklomasi darurat.

Dia sudah kehilangan sokongan majoriti ketika itu, katanya.

“Sebab itu langkah Muhyiddin adalah langkah politik sama dengan usahanya untuk mendapatkan perkenan YDP Agung untuk proklomasi Darurat 1.0. Ia ditolak oleh Majlis Raja Raja Melayu,” katanya.

Menurut beliau, ada Menteri mengaku mereka hanya dimaklumkan mengenai darurat 1.0 dalam mesyuarat Kabinet.

“Tiada perbincangan. Alasannya bimbang Bajet ditolak dan untuk mengelak PRK Batu Sapi,” kata beliau.

Sebab itu, katanya, langkah Darurat 2.0 hanya langkah politik.

“Covid-19 dijadikan alasan. Apa kena mengena Parlimen digantung sampai Ogos tetapi shopping complex dibenarkan buka,” katanya.

Walaupun ada yang mendakwa kerajaan minoriti masih boleh berfungsi, tetapi dari segi moral, Muhyiddin tidak bermoral kerana hanya 109 ahli Parlimen yang menyokongnya.

Justeru dia, katanya, hanya memperkukuhkan lagi ketidakstabilan dalam negara dan akan membawa padah lebih buruk kepada ekonomi.

“Tempoh 10 bulan bukti dia gagal memulihkan ekonomi negara dan kesejahteraan rakyat.

“Dia menolak rekonsilisasi politik. Sebaliknya mengambil pendekatan autokratik apabila memohon perkenan darurat. Dia mahu kekal berkuasa,” kata beliau.