Malaysia Dateline

Rakyat akan terima manfaat langsung dari MoU kerajaan-PH

Rakyat akan mendapat manfaat langsung daripada pelaksanaan Memorandum Persefahaman (MoU) Transformasi dan Kestabilan Politik antara kerajaan Malaysia dan Pakatan Harapan (PH), kata Setiausaha Agung DAP, Lim Guan Eng.

Jelas Guan Eng, kejayaan atau kegagalan MoU tersebut bergantung kepada pelaksanaannya.

Beliau menyenaraikan kebaikan yang dapat dimanfaatkan rakyat termasuklah Pelan Reset Covid-19 Negara untuk memenangi pertempuran melawan Covid-19.

“Selain itu, kerajaan bersetuju menyuntik RM45 bilion dalam Pelan Pemulihan Ekonomi, serta pengecualian bayaran faedah selama tiga bulan bagi moratorium pinjaman bank untuk 50 peratus penduduk Malaysia yang terbawah,” katanya dalam satu kenyataan semalam.

Tambahnya, cadangan Kementerian Kewangan untuk meningkatkan had statutori hutang negara daripada 60 peratus kepada 65 peratus KDNK akan membantu menyokong rakyat dan perniagaan, terutamanya PKS, semasa pembukaan semula ekonomi.

“Pengumuman baru-baru ini oleh Menteri Kewangan Tengku Zafrul Abdul Aziz yang melaksanakan langkah-langkah ini adalah hasil kejayaan pertama kepada rakyat yang mendapat manfaat daripada MoU ini,” katanya lagi.