Rakyat akan tolak PH jika ramai pemimpin seperti MP Kelang, kata Khairuddin

Rakyat akan tolak PH jika  ramai pemimpin seperti MP Kelang, kata Khairuddin

Majoriti rakyat akan menolak Pakatan Harapan (PH) pada Pilihan Raya Umum (PRU) ke-15 sekiranya ramai pemimpin berpandangan sempit seperti  Ahli Parlimen Kelang Charles Santiago, kata Penyelaras Parlimen Jasin, Datuk Seri Khairuddin Abu Hassan.

Beliau menegaskan Ahli Parlimen Klang itu  masih belum lagi benar-benar mengenali Dr Mahathir dan  rakyat tidak akan menolak kepimpinan Dr Mahathir pada PRU15 kelak, namun sebaliknya akan berlaku jika Santiago terus dengan pemikirannya.

Charles Santiago

Charles Santiago

“Santiago harus tumpu dan cukuplah dengan menjaga Parlimen Klang. Isu nasional biar perdana menteri dan barisan Kabinet yang membuat keputusan.

“Cara Dr Mahathir buat keputusan pada kelazimannya secara konsensus dan bukan peribadi. Pada masa kini, apa kuasa yang berlebihan ada pada perdana menteri?Perdana menteri bukan ada portfolio kementerian lain seperti dahulu lagi,” katanya dalam satu kenyataan  hari ini.

Khairuddin  juga  melihat kemampuan Dr Mahathir pemimpin berusia 94 tahun itu yang ‘boleh nampak’ 100 batu di hadapan berbanding hanya 10 kaki di hadapan untuk Santiago.

“Dr Mahathir adalah tokoh negarawan terulung yang paling lama melalui semua tahap kepimpinan negara dari sebelum merdeka lagi. Untuk ini Santiago tidak perlu risau. Apa yang penting dia jaga Parlimen Klang baik-baik,” tegasnya.

Pada Isnin, Santiago dalam satu catatan di laman Facebook rasminya, berkata situasi sekarang menunjukkan seolah-olah Dr Mahathir bertindak sendirian, walaupun datang dari parti yang dikira minoriti dalam Pakatan Harapan.

Tambahnya, sudah tiba masanya untuk menilai kembali proses membuat keputusan dalam kalangan Majlis Presiden PH.

Ia dijawab Dr Mahathir dalam nada sinis yang menyifatkan kedudukan Santiago ketika ini ‘setaraf’ dengan dirinya.