Malaysia Dateline

Rakyat berang Kelantan lebih utamakan PKD, penjawat awam, staf lantikan politik

Inisiatif bagi pelaksanaan Pakej Rangsangan Ekonomi Prihatin Rakyat Kelantan dilihat tidak memuaskan hati rata-rata rakyat di negeri pantai timur Semenanjung itu.

Mereka menyifatkan kerajaan negeri Kelantan yang diterajui Pas terlalu melebihkan penjawat awam serta kakitangan lantikan politik.

Rasa tidak puas hati rakyat Kelantan yang sebahagian besar berniaga dan bekerja sendiri dapat dilihat di deretan komentar di Facebook rasmi Menteri Besar Kelantan, Datuk Ahmad Yakob.

Semalam, akaun media sosial yang menggunakan nama Dato’ Ahmad Yakob itu memuatnaik kenyataan media tentang pakej rangsangan tersebut.

Inisiatif teratas yang diletakkan dalam senarai itu ialah peruntukan khas kali ketiga sebanyak RM20,000 sebagai Bantuan Rakyat yang akan disalurkan kepada semua Pusat Khidmat DUN (PKD).

Kedua, pemberian tunai RM500 secara one off kepada penjawat awam negeri itu dan RM250 bagi kakitangan lantikan politik.

Inisiatif tersebut antara yang diputuskan dalam Persidangan Ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri Kelantan semalam.

Reaksi rakyat Kelantan berhubung pengumuman tersebut antara lain memohon kerajaan negeri memberi pertimbangan bantuan kepada golongan peniaga kecil yang terjejas sumber pencarian.

Ada juga mengingatkan semua lapisan masyarakat terkesan dengan keadaan ekonomi akibat pandemik Covid-19 bukan hanya penjawat awam.

“Kalau penjawat awam di barisan hadapan itu saya setuju. Tapi keputusan di tangan pemerintah. Penjawat awam semua sudah disediakan. Kita yang kerja swasta apatah lagi yang kerja gaji hari.

“Seminggu tak kerja pasti merana. Simpanan bukanlah banyak dapat disimpan. Majikan bukan mampu nak tanggung kita, tambahan syarikat kecil,” kata Shahrul Nazmie Raffar Ariffin.

Setakat jam 5 petang tadi, hantaran di Facebook Ahmad Yakob mengenai inisiatif tersebut mendapat 5,200 komentar dan 1,600 perkongsian.

Kira-kira 90 perataus komentar dilihat mengkritik kepimpinan kerajaan negeri Kelantan.

Rakyat Kelantan tidak puas hati dengan sikap tidak cakna kerajaan negeri kepada golongan bekerja sendiri.