Malaysia Dateline

Rakyat berhak anggap PM terima duit haram, jika dia kaya selepas jadi PM

Bekas Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad berkata, seorang perdana menteri tidak boleh menerima duit daripada mana-mana pihak biarpun derma itu adalah ikhlas.

Beliau berkata, rakyat berhak mendakwa seorang perdana menteri itu telah memperoleh wang secara haram jika dia menjadi jutawan selepas mendapat kedudukan itu.

Ini kerana katanya, perdana menteri tidak boleh mempunyai duit yang banyak, namun jika dia menerima duit untuk parti tetapi memindahkannya ke akaun peribadi, itu dianggap salah.

“Jika didakwa bahawa tokoh negara asing yang menderma untuk apa tujuan pun ia tetap salah.

“Ahli politik dalam negeri tidak boleh terima hadiah atau derma dari negara asing kerana ini memberi peluang kepada negara asing untuk campur tangan dalam politik dalam negeri.

“Oleh sebab itu segala kekayaan Perdana Menteri yang didapati selepas ia menjadi PM hendaklah dianggap sebagai haram dan boleh dirampas oleh pihak yang berkuasa,” katanya dalam satu catatan terbaru di blognya hari ini

Pada masa sama, Mahathir berkata, kebiasaannya perdana menteri adalah individu yang tidak kaya.

Kerana jika dia kaya, beliau berkata, individu itu pasti akan mengisytiharkan harta kekayaannya, atau awal-awal lagi dia sudah dikenali sebagai orang kaya dan jutawan.