Malaysia Dateline

Rakyat berhak tahu sumber dana pakej rangsangan RM250 bilion

Rakyat mahu tahu dari mana sumber dana pakej rangsangan ekonomi RM250 bilion itu. Setakat ini jawapan yang rakyat dapat ialah pusing-pusing.

Sejahil-jahil rakyat dalam hal ekonomi pun faham, tidak semestinya kerajaan ada duit tunai seketul dalam jumlah sebanyak itu sebagai dana.

Nilai wang RM100 berasal daripada RM1 yang berpindah tangan kepada 100 orang, atau RM10 kepada 10 orang atau RM50 kepada dua orang.

Soalannya, berapa banyak nilai asas yang perlu ada untuk menjana kitaran sebanyak RM250 bilion?

Jika penduduk Malaysia berjumlah 30 juta orang, maka sekitar RM8,000 perlu beredar dalam kalangan seluruh penduduk negara ini untuk menghasilkan RM250 bilion.

Katakan kita ada RM1 bilion, maka jumlah itu perlu beredar kepada 250 orang. Adakah kita memiliki keupayaan dana sebanyak itu? Bagaimana ia beredar, berapa tempoh masa diambil? Semuanya diambil kira?

Situasi ini ibarat seorang bapa berjanji untuk memberi kepada anaknya wang RM10,000. Jika anak bertanya, di mana ayah mahu cari wang sebanyak itu, bapa janganlah marah.

Sebab, anak nampak, bapanya kerja gaji harian, sudah kena potong lagi sebab situasi gawat. Isteri bapa ada dua. Anak-anak lima orang. Bil letrik air telefon kena bayar.

Anak tengok belakang rumah pokok cabai ada dua pokok, ayam kampung ada 10 ekor, pokok terung ada dua batang, pokok pisang seperdu, kolam ikan keli tinggal lima ekor.

Kalau jual semua pun, jangankan nak beri anak RM10,000, nak isi minyak motor ayah pergi kerja pun tidak lepas.

Apabila adik minta beli buku, ayah kata ambil dululah duit tabung ayam kamu tu! Anak bimbang nanti ayah jual rumah, bagaimana?

Kini, pendapatan negara sangat terhad. Hasil minyak merudum, cukai korporat merosot, cukai individu tertangguh, pasaran komoditi terjejas. Paling teruk, industri yang menyumbang besar kepada kitaran wang iaitu pelancongan ibarat nazak dalam suasana sekarang.

Menteri Kewangan tidak dapat beri jawapan tuntas kepada soalan orang ramai tentang sumber dana itu. Jawapannya pusing-pusing.

Kenapa rakyat nak tahu, serah kepada kerajaanlah! Rakyat mahu tahu sebab kerajaan janji macam-macam. Jadi, rakyat berangan-angan.

Jadi, orang kerajaan janganlah marah kalau rakyat bertanya. Janganlah bodohkan rakyat. Kamu sudah berjaya tebuk atap, janganlah tebuk lantai dan runtuh dinding pula.

Rakyat nak duduk di mana?