Malaysia Dateline

Rakyat beruntung pembangkang ‘dipaksa’ isytihar harta

Naib Presiden AMANAH, Hasanuddin Mohd Yunus berpendapat usul mewajibkan semua Ahli Parlimen, termasuk pembangkang mengisytiharkan harta masing-masing yang diluluskan sebulat suara oleh Dewan Rakyat sebagai menguntungkan rakyat.

Ahli Parlimen Hulu Langat itu berkata, pihak pembangkang berbahas dalam keadaan berputar-belit sepanjang perbahasan melibatkan 26 anggota Dewan Rakyat pada 1 Julai lalu.

“Selepas berhempas pulas berdebat dengan pembangkang, akhirnya keputusan yang dibuat tetap menguntungkan rakyat.

“Mereka berbahas dalam keadaan yang tidak jelas dan berbolak-balik antara
sedia isytihar harta, dan tidak isytihar.

“Antara Islam melarang mengisytiharkan harta, atau tidak. Hujah dan dalil tidak menepati kaedah sama sekali.

“Sekejap mereka mengatakan usul ini sangat baik tetapi tidak lengkap. Sekejap mereka mengatakan kami menyokong bersyarat dan di ketika lain, ada yang meminta YB Menteri tarik balik usul.

“Malah, ada yang umum dialah orang pertama tidak akan isytihar harta, walaupun usul diluluskan,” dipetik dari Facebook beliau.

Hasanuddin berkata, akhirnya, selepas pihak kerajaan berhujah “terbuka pintu hati” pembangkang sehingga apa yang mereka lakukan membantu untuk mendapat keputusan sebulat suara.

Mengulas lanjut, beliau berkata, hal itu berlaku apabila ramai pembangkang tiada pada Sidang Dewan sebelah petang ketika mereka diperlukan untuk membuat keputusan.

Walhal, jelasnya, semua mengetahui Speaker akan mengurus untuk membuat keputusan ketika itu.

Selain itu, ujarnya, pembangkang juga mengambil sikap membatukan diri apabila ditanya Speaker berbeza dengan barisan kerajaan berteriak mengatakan setuju memandangkan suara terkuat akan menjadi pemutus.

“Maka rakyat beruntung apabila wakil-wakil dari pembangkang akan “dipaksa” oleh keputusan hari ini (1 Julai) untuk mengisytiharkan harta.

“Semoga kepentingan rakyat dan negara mengatasi kepentingan peribadi,” tambahnya lagi.

Berdasarkan usul itu, semua Ahli Parlimen, perlu mengisytiharkan harta mereka termasuk isteri atau suami, anak serta pemegang amanah dalam Akuan Berkanun.

Akuan Berkanun terbabit kemudiannya perlu dikemukakan kepada Yang Dipertua Dewan Rakyat dalam tempoh tiga bulan daripada tarikh usul itu dipersetujui dan disalinkan kepada Ketua Pesuruhjaya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM).