Rakyat bimbang keselamatan perairan Johor

Rakyat bimbang keselamatan perairan Johor

Amanah Johor menggesa kerajaan supaya tegas menjaga perairan negara khususnya di negeri itu daripada dicerobohi pihak asing.

 

Dzulkefly AhmadAmanah Johor menggesa kerajaan supaya tegas menjaga perairan negara khususnya di negeri itu daripada dicerobohi pihak asing.

Timbalan Pengerusinya, Dzulkefly Ahmad berkata, sebanyak 32 kes pencerobohan yang ditangani Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) di Tanjung Sedili tahun lalu menggusarkan rakyat di Johor.

“Ini mendatangkan kebimbangan rakyat mengenai keselamatan laut Malaysia khususnya di perairan Johor yang mudah dicerobohi oleh pihak luar,” ujarnya dalam satu kenyataan hari ini.

Beliau mengulas penahanan sebuah kapal yang membawa pemancing profesional China yang berlabuh tanpa kebenaran di perairan Pengerang, kelmarin.

Menurutnya, pencerobohan perairan negara turut menjejaskan punca pencarian rezeki nelayan tempatan.

“Nelayan terpaksa bersaing dengan kapal haram yang berukuran besar berbanding dengan bot nelayan dan ini akan mengurangkan hasil tangkapan ikan nelayan kita di bahagian laut timur Johor.

“Saya ingin merakamkan ucapan tahniah kepada APMM yang berjaya mematahkan tindakan pencerobohan kapal dari China itu di perairan kita,” katanya lagi.

Kelmarin, kapal ‘Hua Xiang 801’ yang didaftarkan di Zhua Shan, China membawa 12 anak kapal warga negara itu berusia lingkungan 23 hingga 53 tahun ditahan APMM sekaligus menjadi kes pertama tahun ini bagi kapal bersauh tanpa kebenaran.

TAGS