Malaysia Dateline

Rakyat bingung dengan PN?

Jika rakyat menyanjungi kerajaan “tebok atap” (Kata-kata daripada Datuk Seri Abdul Hadi Awang sendiri, Malaysia Dateline, 16 Marh 2020) Perikatan Nasional (PN) berikutan dua rangsangan pakej ekonomi dilaksanakan semasa pandemik Covid-19, rakyat tentu tertanya-tanya apa yang sedang berlaku di sebalik topeng Covid-19 ini?

Beberapa perkembangan politik yang berlaku menunjukkan seolah-olah persediaan PN berhadapan dengan era pasca Covid-19 yang dirasakan tidak lama lagi. Ini berdasarkan kerancakan pergerakan dan strategi politik belakang topeng Covid-19.

Terdapat tiga perkara yan membingungkan rakyat. Pertama pesaingan dalaman parti Bersatu, kedua pemberian jawatan GLC atau agensi kerajaan kepada ahli parlimen dalam situasi kritikal sekarang dan ketiga, kritikan pedas parti gabungan muafakat nasional.

Pertama, melalui berita dari media atas talian, rakyat pun dapat membaca dan menilai sendiri permainan dan percaturan politik yang sedang bergerak pantas bertujuan mengukuhkan kerajaan dalam berhadapan dengan politik pasca Covid-19.

Rakyat akan gusar apabila membaca di tengah-tengah pergelutan penularan Covid-19 dan isu PKP, berlaku pertandingan merebut kerusi presiden Bersatu antara Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin dan pencabarnya Datuk Seri Mukhriz Mahathir.

Di samping itu bergelut pula pertandingan merebut kerusi timbalan presiden Bersatu juga menyaksikan pertandingan satu lawan satu antara bekas setiausaha agung Marzuki Yahaya dan Menteri Besar Perak Ahmad Faizal Azumu. Terdapat kerancakan dalam mempertahankan jawatan ketua armada dan calon yang bertanding kerusi tersebut. Pertandingan ini antara bekas Menteri Sukan dan pengawal khasnya.

Kedua, di tengah kegelisahan rakyat dengan PKP oleh batasan pergerakan, PM bertungkus lumus menukar semua jawatan GLC yang ada sekarang untuk diberikan kepada ahli parlimen. Sedangkan negara kita sedang menghadapi pandemik COVID-19 tetapi PM terus juga melakukan pertukaran di kala ini.

Skala serta skop perubahan dalam kalangan pengarah dan pengurusan kanan syarikat berkaitan kerajaan (GLC) cukup membingungkan rakyat. Apa yang berlaku sekarang mana yang lebih diutamakan Covid-19 atau perlantikan ahli politik ke jawatan pengerusi, pengarah atau jawatan kanan tersebut. Manakah yang lebih terdesak dan mendesak?

Kadar perubahan pantas lebih mengejutkan rakyat memandangkan lantikan ini dibuat PN yang diketuai oleh perdana menteri dan menteri-menteri kanan yang sebelum ini berada dalam pentadbiran Pakatan Harapan (PH).

Menurut Terence Gomez, Profesor Ekonomi Politik di Fakulti Ekonomi dan Pentadbiran, Universiti Malaya, jumlah jawatan pengarah GLC yang dapat diberikan kepada ahli politik sangat besar, ia merupakan jalan utama untuk menenangkan wakil rakyat yang tidak berpuas hati kerana tidak dilantik ke dalam jemaah menteri.

Pada awalnya, kita tidak sedari tetapi apabila diteliti dengan halus, rupa-rupanya PM kena pastikan yang kesemua 112 ahli parlimen bersamanya untuk berhadapan dengan sesi Dewan Rakyat apabila dibuka nanti. Rakyat tentulah bingung dengan keadaan ini, sudahlah ada 73 menteri dan timbalannya kemudian dilantik pula ahli politik ke dalam Khazanah yang menjaga duit negara, dan ke jawatan ke GLC.

Tujuannya bagi memastikan semua ahli parlimen yang bersama PN mendapat balasan jawatan sewajarnya dan ini juga melalui perlantikan ke jawatan pengerusi GLC. Ini dilakukan supaya untuk kekal menjadi PM dalam kerajaan PN perlu ada 112 kerusi parlimen. Ini bagi mengelakkan kebimbangan semasa sidang parlimen nanti Muhyiddin akan menjadi PM yang paling singkat dalam sejarah negara.

Pada zaman edan ini, dalam berhadapan dengan keadaan kritikal sekarang, Muhyiddin pada masa yang sama harus memikir dan menyusun atur strategi agar kesemua ahli parlimen tersebut mempunyai jawatan besar didalam GLC.
Bagi saya adalah hak kerajaan hendak melantik sesiapa pun untuk memegang jawatan pengerusi GLC atau jawatan kanan dalam agensi kerajaan tetapi mestilah seseorang ahli politik yang dilantik itu adalah bersih, bebas daripada tuduhan kes rasuah, berkelayakan sekurang-kurang berpengalaman atau ada kaitan dengan bidang perlantikan dan harus melalui tapisan oleh ahli jawatankuasa tertentu misalnya.

Kerajaan harus mempunyai tanda arasnya dan perlantikan sekarang semacam tergesa-gesa demi kepentingan dan survival PM dan PN.

Badan apakah yang akan memantau cara pengurusan ahli parlimen tersebut dalam mengendalikan GLC atau agensi kerajaan bagi memastikan tiada rasuah politik, wang atau seumpamanya. Adakah SPRM dapat menjalankan tugasnya dengan telus? Jika bertujuan sekadar mendapat sokongan ahli parlimen kepada kedaulatan PN maka tiada tanda aras atau kelayakan sesuai diperlukan, cukup sekadar jaminan mendapat sokongan di Dewan Rakyat nanti.

Sehubungan itu bekas menteri perdagangan antarabangsa dan perindustrian, Tan Sri Rafidah Aziz menyatakan kekecewaannya dengan tindakan kerajaan PN melantik ahli-ahli parlimen mengetuai syarikat GLC.

Beliau berkata “sesetengah orang” yang mentadbir negara seharusnya kembali kepada asas-asas pentadbiran untuk mencapai aspirasi bangsa dan rakyat.”Bukan hanya dengan melantik individu ke mana-mana jawatan kosong, dikosongkan, atau jawatan yang diwujudkan.

“Tetapi untuk mentadbir berpandukan integriti, kejujuran, tanggungjawab, akauntabiliti, dan kerja berpasukan, tidak dipandu oleh cita-cita dan matlamat peribadi untuk menjejaskan negara,” kata Rafidah dalam kiriman Facebooknya.

Ketiga, berlaku keretakan dalam gabungan PN. Ini jelas membingungkan rakyat kerana di tengah kekalutan berhadapan masalah ekonomi, rakyat bergelut dengan kurangya pendapatan takut akan kehilangan pekerjaan terutamanya bagi mereka yang di bawah B40, muncul pula kritikan dan serangan yang dibuat oleh para pemimpin dan menteri Umno terhadap rakan-rakan mereka dalam Kabinet PN.

Serangan ditujukan kepada Datuk Seri Mohamed Azmin Ali, Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri (MITI) yang sebelum ini adalah perancang utama kerajaan ini.

“MITI dah nak jadi super ministry ke?” tanya veteran Umno, Tan Sri Shahril Samad menegur langkah Azmin yang mengumumkan pelbagai perkara yang bukan di bawah kawalan kementerian itu. (Malaysia Dateline, 16 April 2020)
Dalam hubungan itu Ketua Pemuda Umno, Datuk Dr Asyraf Wajdi Dasuki juga menghalakan senjatanya kepada Azmin apabila MITI mengumumkan kebenaran beberapa sektor pekerjaan yang melibatkan warga asing dibuka ketika negara di bawah Perintah Kawalan Pergerakan.

“Tidakkah cukup pengalaman negara jiran Singapura yang kembali meningkat kes jangkitan baharu Covid-19 dan kebanyakannya disumbangkan oleh pekerja asing,” kata Asyraf.

Selain Azmin, pemimpin Umno juga menghalakan serangan mereka kepada pemimpin Bersatu yang lain manakala MCA pula mula menunjukkan sikap sebenar mereka terhadap Pas. Datuk Azalina Othman Said terus menerus membuat serangan kepada Bersatu Iitu terhadap Datuk Seri Rina Mohd Harun. Tan Sri Annuar Musa pula mengkritik dan terus mensekolahkan Timbalan Menteri Belia dan Sukan dari Bersatu, Wan Ahmad Fayhsal yang terasa berada dalam Kabinet walaupun hanya timbalan menteri.

Serangan Ketua Pemuda MCA, Nicole Wong Siaw Ting terhadap Timbalan Menteri Wanita, Siti Zailah Yusof dari Pas tidak mengejutkan walaupun ia kemudiannya ditarik balik selepas tersedar. “Maaf cakap, Siti Zailah tidak layak menjadi Timbalan Menteri KPWKM.

“Hanya berdiam diri terhadap sikap kasar suami? Ini tidak boleh diterima,” tulis Nicole. Bagaimanakah PN yang bercadang membina rangka bangunan daripada buluh tiba-tiba lantainya sudah retak? Rakyat makin berserabut dengan perkembangan ini, apa yang berlaku sekarang?

PAS diam membisu tidak memberikan sebarang ulasan adakah sudah berpuas hati dengan habuan yang diberikan. Pada masa yang sama Muhyiddin perlu bersaing dengan sikap berpuak di dalam Bersatu yang melemahkan, apalagi ketika pemilihan Bersatu semakin hampir.

Bagaimana sekiranya selepas tamat PKP dan redanya Covid-19 andaikan tarikh maksimum adalah bulan Jun, tiba-tiba pilihanraya mengejut diadakan Bagaimanapun ini juga bergantung kepada sidang Parlimen pada bulan Mei nanti.

Seandainya pilihan raya mengejut diadakan, rakyat yang sudahlah bingung akan terus terperanjat, ,sudahlah bosan dengan kerutinan PKP, keletihan barisan hadapan, keadaan atau situasi ekonomi yang tidak menentu, dalam hal ini PN tentu berhadapan dengan maslah besar pembahagian kerusi-kerusi Parlimen majoriti Melayu di Semenanjung Malaysia.

Calon-calon PPBM, Umno dan Pas tentunya memfokuskan kerusi-kerusi selamat untuk calon-calon mereka. Apakah formula yang akan digunapakai dalam perundingan dan siapa kah yang mempunyai kuasa pemutus dalam membuat keputusan muktamad dan terakhir?Dalam keadaan sekarang, adalah dipercayai bahawa TSMY masih buntu dalam menentukan strategi nya atas isu ini. (Malaysia Dateline 16 April 2020)

Sehingga artikel ini ditulis, Kerajaan PN masih belum mengumumkan struktur kepimpinannya, siapakah yang menjadi Pengerusi, Timbalan Pengerusi, Setiausaha, Bendahari dan ahli jawtaankuasanya. (Malaysia Dateline 16 April 2020)

Sehubungan itu tiada sebarang maklumat berkaitan dengan alamat Pejabat Urusetia. Apatah lagi logo PN dan risalah mengenai PN.

Tidak dinafikan PM perlu mengatur strategi bagi memantap dan mendaulatkan kerajaan PN yang tertubuh dari Langkah Sheraton dan ekoran kekosongan jawatan PM serta terlerainya PH selepas Bersatu keluar, jika tidak apakah guna dan erti segala usaha tersebut, walaupun meenggunakan pintu belakang.

Namun dalam keadaan kebingungan, kita tidak mahu rakyat akan berkata “Kami kecewa dengan PN.”

 

Kolumnis adalah pensyarah di Jabatan Komunikasi, Fakulti Komunikasi, Seni Visual dan Pengkomputeran, Universiti Selangor (Unisel)