Rakyat bukan perangi Covid-19 tetapi lawan kerajaan

Oleh ARIF ATAN

Menarik ulasan Imraz Ikhbal yang dikutip dari satu Youtube yang mengulas mengenai Covid-19 dan cara kerajaan mengatasinya.

Menurut Imraz antara sebab mengapa Covid-19 di negara kita liat untuk pergi kerana ada beberapa kelemahan di pihak kerajaan dan juga rakyat mengatasinya.

Langkah kerajaan buat sekatan pergerakan (lockdown) dengan menutup sesetengah aktiviti dan membuka kilang (keutamaan) ada yang betul dan ada yang tidak, katanya.

Tidak semua arah aktiviti ditutup, kerana bukannya semua perlu. Kerana ada yang tidak perlu ditutup tetapi diarah berbuat demikian menjadikan tindakan kerajaan itu sebagai merepek atau sia-sia.

Pada pemerhatiannya, lockdown yang dilaksanakan kini gagal menyelesaikan masalah. Ia terbukti sejak lockdown dan sebelumnya kes Covid-19 tidak jauh beza.

Imraz Ikhbal

Beliau juga musykil kerana hanya Malaysia satu-satunya negara yang menggunakan Ordinan Darurat untuk mengatasi Covid-19.

Tidak ada negara lain di dunia ini buat macam Malaysia. Pun begitu tahap keberhasilannya mengecewakan.

Tegasnya kerana tindakan merepek oleh kerajaan itu menyebabkan rakyat hari ini bukan takut dan melawan virus Covid-19 tetapi melawan kerajaan dan benci kerajaan.

Rakyat marah dengan pelbagai peraturan yang dikenakan menerusi prosedur operasi standard (SOP) yang bukan menyelamatkan mereka tetapi lebih menyusahkan.

Pandangan Imraz ini sangat terbuka dan tuntas. Sewajarnya, beliau diundang untuk memberi pandangan dan bercerita mengenai Covid-19 di televisyen utama.

Ini tidak. Undang menteri atau pun individu-individu yang bercakap lebih retorik hendak pertahankan kelemahan kerajaan daripada menyatakan hakikat sebenar.