Rakyat damba perubahan dirahmati llahi, bukan ‘ketuanan Melayu-Islam’

Adun Kubang Rotan Mohd Nasir Mustafa dan ketua pembangkang Dun Kedah Datuk Ir Amiruddin Hamzah turut hadir di majlis perasmian Konvensyen AMANAH Nasional.

Rakyat amat mendambakan satu ‘perubahan dan tajdid’ bagi membebaskan negara ini sekaligus membangunkan serta memperkasakan warga negara-bangsa ini.

Sehubungan itu, dalam rangka membangunkan negara bersendikan “Islam sebagai Rahmat Untuk Semua”, Parti Amanah Negara tampil untuk meneruskan kesinambungan perjuangan yang ditinggalkan para ulama dan mujaddid silam, warisan Rasulullah s.a.w. dengan perintah llahi “Membangunkan Bumi Ini”.

Berucap menyampaikan Pidato Presiden pada majlis perasmian Konvensyen AMANAH Nsional ke-2 di Alor Setar, Presiden AMANAH Mohamad Sabu berkata, pendekatan Islam yang “Inklusif dan Progresif” dan corak yang kontemporari, AMANAH berazam untuk menyuntik kesegaran dan pemugaran perjuangan Islam dalam konteks serta realiti zaman, agar mampu berdepan persaingan sengit dalam cabaran abad ke-21 ini.

“Jalur pemikiran parti-parti Islam generasi kedua, yang diserlahkan AK Parti pimpinan Presiden Tayyib Erdogan dan An-Nahdhah di bawah kemudi Sheikh Rashid Ghanoussi lebih mirip dengan nuansa perjuangan yang mahu diterjemahkan Parti Amanah Negara.

“Lalu kami amat insaf dan sedar akan wujudnya jurang antara retorik ‘Islam Rahmatan Lil ‘Alaamin’ dan kerja buat part-parti politik Islam yang menonjolkan wajah Islam yang ‘menjadikan umat lslam sendiri pun takut, gusar dan keliru’, apatah lagi kaum dan penganut agama lain.

“Itu belum lagi mengambil kira ‘jurang atau kesenjangan’ antara dakwaan ‘berakidah’ tetapi ‘berakhlak buruk’ seperti bermudah dengan rasuah, tidak amanah serta rakus mengambil hak rakyat atau orang lain,” ujarnya.

Mohamad turut menyentuh doktrin songsang ‘politik lslam’ sesetengah pihak yang mendakwa hanya ‘Ketuanan Melayu-Islam’ sahaja layak memimpin sedangkan mereka gagal mengerti apakah ciri sebenar tuntutan Al-Quran kepada sifat ‘al-quwwah wal-amanah’ iaitu kompetensi-keupayaan (merit) dan integriti yang menjadikan rakyat semakin keliru serta hilang kepercayaan.

“Adakah atas nama ‘Melayu-Islam’ mereka perlu dikekalkan memerintah, meskipun mereka rasuah, bolot, boros dan songlap wang rakyat? Pastinya pemikiran dan konsep mereka ini telah jauh tergelincir dan tersimpang dari prinsip asal tujuan Islam!” bidas beliau.

Dalam ucapannya juga, beliau menempelak pendekatan lslam yang tidak merasakan satu kesalahan dan dosa menggelar dan melabel pihak yang tidak menyokong mereka dengan pelbagai label seperti munafik, sesat dan yang bukan-lslam dilabel sebagai kafir harbi yang boleh diperangi.

Pendekatan ini, jelas beliau telah menghilanglah sifat ‘rahmah lslam’ yang sebenar dan Islam dilihat sebagai melampau, sangat eksklusif dan ‘hanya kelompok aku sahaja yang betul’.

Lantas katanya, AMANAH tampil ditengah-tengah persada politik nasional, untuk terus mengangkat dan memaknakan secara serius “Tujuan Islam dan Maksud Syariah Islam” yang sebenarnya, sesuai dengan Firman Allah SWT dalam Surah Al-Anbiya ayat 107 yang bermaksud:

“Dan tidaklah Kami mengutus kamu (Muhammad), melainkan untuk menjadi rahmat bagi seluruh alam.”

Menurutnya, tiada bukti yang lebih tuntas dan muktamad bagi menyerlahkan kejayaan dan kesempurnaan misi Islam sebagai ‘Rahmatan Lil ‘Aalamin’, selain dari mengimbau kepimpinan Baginda Rasulullah s.a.w. yang berjaya menyusun-atur lalu mengemudi masyarakat Madinah yang sangat majmuk dengan sifat berbilang kaum dan kabilah, pelbagai budaya, agama dan kepercayaan.