Rakyat dapat Pakej Rahmah Insurans, Takaful dari kerajaan Malaysia Madani

Oleh BORHAN AHMAD

Kerajaan hari ini melancarkan Pakej Rahmah Insurans dan Pakej Rahmah Takaful yang menawarkan perlindungan komprehensif pada harga berpatutan.

Menteri Perdagangan Dalam Negeri Dan Kos Sara Hidup (KPDN), Datuk Seri Salahuddin Ayub berkata, pakej itu ditawarkan dua syarikat takaful dan insurans terkemuka iaitu Allianz Malaysia dan Etiqa.

Menurutnya, pelancaran kedua-dua pakej itu adalah seiring hasrat KPDN untuk memperluas pelaksanaan Program Payung Rahmah agar turut meliputi segmen perlindungan diri dan harta benda seperti kenderaan bermotor.

“Inisiatif Pakej Rahmah Insurans oleh Allianz General diperkenalkan melalui Insurans PerlindunganKu Allianz4All yang menawarkan perlindungan kemalangan peribadi sehingga RM50,000.

“Pemegang polisi yang dimasukkan ke hospital kerajaan akibat sakit atau kemalangan akan menerima dua manfaat baharu iaitu pembayaran balik perbelanjaan perubatan dan bayaran bantuan kecemasan sekiranya berlaku pemindahan banjir sehingga RM750,” katanya pada sidang media selepas menyempurnakan Majlis Perhimpunan Bulanan KPDN di Putrajaya hari ini.

Beliau yang juga Ahli Parlimen Pulai berkata, manfaat baharu tersebut ditambah tanpa kos tambahan, dengan premium tahunan pada kadar RM53 dan RM79.50 termasuk cukai jualan.

Selain itu, kata Salahuddin, Allianz General juga memperkenalkan perlindungan MotorcyclePlus yang menawarkan perlindungan tambahan seperti kemalangan diri sehingga RM10,000 untuk penunggang dan pembonceng motosikal.