Malaysia Dateline

Rakyat di Tanjung Piai alami masalah kalau tersalah pilih

Berbaki dua hari tempoh kempen Pilihan Raya Kecil (PRK) Parlimen Tanjung Piai, majoriti pemilih berdaftar dilihat memahami kepentingan mengundi calon Pakatan Harapan, Karmaine Sardini.

Hal itu ditegaskan Presiden Bersatu, Tan Sri Muhyiddin Yassin dalam ucapan sempena Ceramah Perdana Pakatan Harapan (PH) di Kukup sebentar tadi.

Beliau turut mengaitkan sambutan hangat kira-kira 2,000 orang ramai sebagai isyarat awal kemenangan PH.

“Inilah petanda awal Tanjung Piai kekal menjadi milik Pakatan Harapan. InsyaAllah,” ujarnya.

Menurut Menteri Dalam Negeri tersebut, beliau meyakini majoriti pengundi di kawasan penghujung Benua Asia itu akan menolak calon pembangkang.

“Saya yakin dalam pemantauan di 27 PDM dalam tempoh kebelakangan ini, sebahagian besar pengundi sudah memahami ini PRK bukan PRU.

“PRK ini hanya pilih calon di peringkat Parlimen dengan Perdana Menteri dan kepimpinan negeri kekal bersama PH.

“Kalau tersalah pilih, rakyat di Tanjung Piai memilih satu tempoh yang panjang akan mengalami masalah kalau wakil rakyat daripada pihak pembangkang,” ujarnya di tapak pasar malam Kukup Laut.

Sehubungan itu, Muhyiddin menyeru bakal pengundi pada 16 November ini benar-benar memikirkan pilihan mereka nanti.

“Ini logik yang harus difikir semasak-masaknya oleh 53,000 pengundi Melayu, Cina dan India untuk keluar beramai-ramai memilih Karmaine sebagai wakil rakyat.

“Wajarlah pengundi Tanjung Piai memberi sokongan yang padu kepada calon PH,” tegas Ahli Parlimen Pagoh itu lagi.

Seramai 52,986 pemilih berdaftar bakal membuang undi di 125 saluran mengundi iaitu masing-masing 60 dan 65 saluran di N.55 Pekan Nanas dan N.56 Kukup pada Sabtu ini.

Dari segi jantina, sebanyak 50.52 peratus iaitu 26,769 orang terdiri daripada pengundi lelaki.

Pengundi berusia 30 hingga 39 tahun mewakili segmen pengundi terbesar iaitu 12,012 orang (22.67 peratus) diikuti pengundi 40 hingga 49 tahun seramai 11,055 orang iaitu 20.86 peratus.