Malaysia Dateline

Rakyat diajak baiki sistem pentadbiran yang diubahsuai Umno untuk curi wang negara

Rakyat negara ini khasnya anak muda diajak untuk memperbetulkan sistem pengurusan negara ini yang telah diubahsuai oleh Umno untuk kepentingan parti mereka.

“Umno telah memanipulat sistem pentadbiran di negara ini untuk memudahkan mereka mencuri wang rakyat dan negara.

“Menjadi peranan kita orang muda dan Pakatan Harapan untuk memperbetulkan sistem ini,” kata Ketua Pemuda AMANAH, Hasbie Muda ketika bercakap kepada orang Temerloh malam tadi.

Bagi Hasbie, yang berucap dalam program Jelajah Angkatan Muda HARAPAN ke Pahang yang diadakan di Temerloh, aset yang paling bernilai dalam negara ini adalah sistem yang baik.

Jika sistem gagal uruskan negara dengan baik, ia akan menjadikan negara ini gagal, kata beliau.

“Kita tak nafi, sistem kita ada yang diambil dari pentadbiran British. Kita ada sistem pejabat yang dipandu dan dijaga dalam semak dan imbang.

“Dalam sistem yang baik, ia sentiasa dijaga oleh semua pihak agar negara selamat.

“Tetapi Umno sekarang ini telah manipulat sistem ini untuk membolehkan mereka curi duit rakyat untuk pertahankan kuasa mereka,” kata Hasbie.

Contohnya, kata beliau, kalau selepas merdeka dahulu pejabat yang paling berkuasa bagi setiap daerah atau kawasan adalah Pejabat Daerah di mana semua sistem merujuk ke sini.

Contohnya kalau ada banjir, semuanya merujuk kepada Pejabat Daerah untuk mendapatkan bantuan dan menyusun sistem sokongan.

“Tetapi di bawah Umno, yang paling berkuasa bagi sesebuah daerah bukan lagi Pegawai Daerah tetapi Ketua Bahagian Umno,” kata beliau.

Misalnya untuk Majlis Pembangunan dan Tindakan Daerah, Umno telah membuat supaya kuasanya terletak di bawah Ahli Parlimen atau Exco yang ditentukan oleh Majlis Tindakan dan Pembangunan Negeri (MTN) pimpinan Umno.

Melalui sistem ini, Umno telah menjadikan Majlis Tindakan Daerah hendaklah dipengerusikan oleh wakil rakyat atau pemimpin mereka.

“Ia menjadikan Ketua bahagian Umno yang mungkin seorang Ahli Parlimen, atau exco atau Adun biasa yang mempengerusikan majlis ini.

“Ini adalah satu sistem yang korup dimana segala perbelanjaan akan disalurkan melalui ketua bahagian Umno ini.

“Ini menyebabkan di mana-mana daerah sahaja, Pegawai Daerah pun takut kepada ketua bahagian Umno dan di tempat-tempat tertentu Pegawai Daerah takut kepada ketua cawangan Umno yang mungkin hanya tukang kebun sekolah sahaja,” kata beliau.

Menurut Hasbie, Pak Sako yang memperjuangkan kemerdekaan di Temerloh dahulu mudah mengenali siapa musuh negara.

“Mereka datang dalam bentuk mudah, penjajah samada British atau Jepun atau Komunis. Tetapi sekarang agak sukar kerana musuh negara sekarang adalah di kalangan rakyat negara ini sendiri,” kata beliau.