Malaysia Dateline

Rakyat dihimpit kesusahan tapi parti ‘agama’ perlekeh bendera putih

Inisiatif yang dimulakan oleh netizen bagi menyelamatkan rakyat daripada keadaan kritikal yang dihadapi mereka yang terputus bekalan makanan ketika PKP kini menerusi pengibaran bendera putih –atau apa-apa kain putih – harus diraikan dan disokong.

Menerusi laman-laman sosial yang memuat naik mesej tentang bendera putih itu, yang dikatakan dimulakan oleh seorang pemimpin wanita AMANAH, inisiatif tersebut adalah untuk memberikan alternatif lain kepada golongan yang terhimpit kesusahan.

Usaha mengupayakan rasa peduli masyarakat itu bagi mengelak mereka yang tiada wang sehingga tidak mampu mendapatkan makanan harian daripada mengambil langkah singkat dengan membunuh diri.

Sebahagian lain mula menderita sakit jiwa atau mental kerana tertekan hasil keadaan yang dihadapi mereka. Dan sememangnya kadar bunuh diri dan penyakit mental semakin meningkat sejak pandemik bermula lebih setahun lalu.

Usaha ini bermula pada minggu ketiga Jun lalu dan mendapat sambutan hangat pelbagai pihak termasuk beberapa NGO, gedung perniagaan dan pertubuhan politik. Malah menteri dalam kerajaan turut memberikan sokongan.

Tujuan rakyat diminta mengibarkan bendera putih itu semata-mata untuk memaklumkan kepada masyarakat sekeliling terutama jiran terdekat tentang masalah yang dihadapi oleh penghuni rumah yang terputus bekalan makanan dan keperluan asas supaya masyarakat sekitar dapat meghulurkan bantuan segera.

Beberapa mesej dimasukkan dalam paparan media sosial yang mula-mula membawa mesej bendera putih tersebut. Rakyat yang terkesan diberitahu supaya “jangan (meng)ambil tindakan yang akan merugikan diri dan orang tersayang, (meng)elakkan stress, tidak perlu merayu dan malu, hanya kibarkan kain putih, semoga ada yang membantu”.

Susulan mesej ini pada bendera putih yang dipaparkan dalam laman sosial, bermulalah rakyat menaikkan bendera putih, kain putih dan sebagainya bagi menarik perhatian orang lain dan menyebabkan bantuan dalam bentuk makanan dan keperluan lain mencurah tiba.

Seperti yang dilaporkan dalam sebuah berita. “Malam naikkan bendera putih pagi dapat bantuan” di mana sepasang suami isteri yang hilang punca pendapatan mengambil keputusan untuk menaikkan bendera putih di hadapan rumah mereka di Kampung Gelang Mas, Pasir Mas, Kelantan untuk meminta bantuan daripada orang ramai.

“Kerana suami hilang pekerjaan, kami terpaksa menanggung tunggakan sewa rumah selama tiga bulan sebanyak RM350 sebulan kerana tidak mampu membayarnya buat masa sekarang,” kata isteri pasangan itu.

“Jadi, selepas saya membaca kempen inisiatif rakyat untuk kibarkan bendera putih yang tular di media sosial, saya mengambil keputusan untuk membuat bendera menggunakan baju putih dan suami memasangnya semalam di hadapan rumah.”

“Saya pasang bendera dalam pukul 10 malam tadi, dan pagi tadi, tok penghulu ada datang ke rumah dan bagi sumbangan berupa susu dan kain lampin pakai buang bayi. Ada juga jiran yang memberi makanan seperti beras, telur dan bihun kepada kami sekeluarga,”.
Kisah seperti ini banyak terpapar dalam akhbar cetak dan juga atas talian.

Dalam kalangan netizen pula timbul semacam kebanggaan menjadi rakyata Malaysia ketika mana negara dilanda wabak Covid-19 dan rakyat sengsara. Mereka memang bersemangat bersama kempen pengibaran bendera putih ini.

“Kibarkan bendera putih menjadi satu daripada sebab mengapa saya bangga menjadi rakyat Malaysia”, catat seorang daripada mereka.

Tetapi lain pula reaksi pemimpin-pemimpin Pas yang mendakwa diri mereka memperjuangkan “Islam” di negara kita. Rata-rata mereka mengkritik usaha rakyat ini sebagai sesuatu yang tidak perlu.

Bermula daripada ahli Parlimen Bachok, kepada menteri besar sebuah negeri dan “ulama” di Pahang beserta beberapa pemimpinnya yang lain, semuanya menolak pengibaran bendera putih sebagai cara mendapat bantuan.

Tema yang konsisten dalam kenyataan setiap pemimpin ini adalah penolakan kepada cara pengunaan bendera putih kerana ia dikatakan melambangkan “putus asa”. Tiada seorang pun yang menyokong inisiatif rakyat ini.

Reaksi mereka tentunya mendapat kritikan pedas daripada rakyat yang meluahkan kemarahan mereka terhadap parti itu.

Sampai ada netizen yang membuat kesimpulan bahawa para politikus daripada parti yang mendakwa perjuangkan agama itu membuat komen negatif semata-mata kerana warna yang dipilih – andaikata ia berwarna hijau kemungkinan mereka tidak membantah malah memberi galakan.

Di sebalik kenyataan mereka itu tersirat kebimbangan yang kerajaan sekarang gagal mengangani masalah rakyat sebaik mungkin kerana mereka berada di dalam kerajaan.

Dari segi kesan politiknya, parti ini hilang sokongan rakyat apabila berdegil mahu mempertahankan hujah dangkal bahawa bendera putih bukan “penyelesaiannya”. Mereka barangkali tidak tahu bahawa bendera itu sekadar tanda atau simbol yang boleh dilihat oleh sesiapa yang mahu menolong tetapi tidak dapat mengenalpasti siapa yang patut ditolong.

Bendera putih bukan sahaja cara askar memberi isyarat untuk menyerah diri di medan perang, malah ia turut menjadi lambang dan simbol bagi tentera Islam di zaman silam. Di zaman pemerintahan Umayyah, Abbasiyyah dan Fatimiyyah, bendera putih biasa digunakan oleh pemerintah.

Apatah lagi bendera putih juga adalah lambang kesucian, niat mereka yang meminta pertolongan dan niat mereka yang memberi juga dengan niat yang suci. Ini adalah satu usaha yang terpuji yang digerakkan oleh rakyat sendiri tanpa penglibatan pemerintah yang menggalakkan nilai murni menolong sesama manusia.

Gerakan bendera putih hadir pada masa yang paling sesuai – ketika mana semakin ramai orang putus harapan untuk hidup, sukar menyara keluarga dan sebagainya.
Memandangkan pola kes Covid-19 pada masa ini yang masih tinggi dan lebih ramai dari kalangan rakyat menerima impak ekonomi yang teruk, apa jua usaha yang datang daripada kalangan rakyat bagi mengurangkan kesan negatif pandemik ini harus diberi sokongan sepenuhnya.

Bukan menjadi pengkritik yang tidak membumi dengan masalah dan kesengsaraan rakyat seperti parti yang mendakwa perjuangkan agama itu.