Rakyat diketawa, suratan atau kebetulan

Rakyat diketawa, suratan atau kebetulan

[Sertai Telegram kami untuk berita terikini di t.me/mdateline]

Pernahkah anda semua terfikir setiap negara hanya akan sesuai untuk satu genre sahaja dalam bidang seni lakonan mereka. Mungkin tidak banyak industri lakonan yang mampu untuk mempunyai lebih dari satu genre.

Sebagai contoh kita lihat negara Indonesia. Mereka dari pengamatan saya mahir dalam mengeluarkan filem yang berunsur seram. Kepakaran mereka walau filem tersebut genrenya komedi seram, seramnya akan tetap dirasai.
Jika kisah hantu yang dihasikan oleh negara barat (zombie atau pontianak) bagi saya sedikit pun tidak menyeramkan.

Jika filem aksi yang berkualiti tentunya dari negara seperti China atau Hong Kong. Pendek kata bila aksi pergaduhan seperti yang dipaparkan dalam filem seperti Ip Man akan sentiasa dinanti tayangannya. Itulah identiti mereka walau tajuknya Kung Fu Hustle atau Shoalin Soccer, komedi itu akan tenggelam dengan lawak yang diselitkan.

Begitu juga apa yang berlaku dengan industri filem Bollywood. Cinta menjadi asas mereka membina setiap karya. Walau jalan ceritanya diselitkan dengan fantasi seperti nyanyian lagu yang sekejap ada di pantai dan sekejap di gigi gunung berapi, sesiapa yang menonton pasti merasai kerana mereka seolah melihat diri mereka di dalam layar tersebut.

Bagaimana pula dengan negara kita?

Sejak beberapa tahun yang lalu menampakkan artis komedi lebih mendapat tempat. Sifat orang Malaysia yang ceria (sambil kedua-dua tangan letak dibahu) menyebabkan filem yang bercampur unsur komedi lebih mendapat tempat.

Lihat sahaja bidang pengacaraan, artis yang lahir dari rancangan realiti tv program komedi mempelopori ruangan tersebut. Tunggu saja bila filem horor komedi ditayangkan, pastinya pawagam akan dipenuhi. Ia bukan lagi cerita seram tetapi sudah jadi filem komedi.

Tetapi di Malaysia bukan artis komedi sahaja yang laku, malah ahli parlimen dan Adun juga dipilih atas sifat humornya. Kalau tidak percaya lihat sahaja mereka yang berada dalam kabinet hari ini. Alasan atau hujah yang diberikan akan membuatkan rakyat ketawa dalam kesakitan dan kemarahan.

Masakan tidak, Perdana Menteri kita pun turut jadi bahan jenaka seantero dunia.

Itulah hebatnya pengaruh komedi dalam negara.

TAGS