Malaysia Dateline

Rakyat diminta bertenang, hantaran media sosial membenci pelarian Rohingya disiasat

Kerajaan menasihatkan supaya rakyat Malaysia bertenang dan tidak menimbulkan isu-isu yang membangkitkan kemarahan sehingga boleh mencetuskan perkara yang tidak diingini ekoran isu pelarian Rohingya.

Menteri Kanan (Kluster Keselamatan), Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, pihak polis sedang menyiasat segala bentuk hantaran media sosial berkaitan cubaan masuk etnik tertindas tersebut ke negara ini.

Menurutnya, polis sedang menyiasat audio, video dan berita terbabit yang tular di media sosial baru-baru ini sehingga mencetuskan sentimen kebencian dalam masyarakat.

“Malaysia adalah sebuah negara aman dan kita terkenal dengan negara sangat bertimbang rasa oleh sesiapa saja yang ada di bumi Malaysia ini.

“Jadi saya harap kita bertenang dan kita beri peluang kepada pihak polis untuk menyiasat perkara-perkara yang ditimbulkan. Insyaallah polis akan siasat semua perkara yang ditimbulkan di dalam media sosial, YouTube dan sebagainya,” jelasnya.

Beliau berkata demikian dalam sidang media harian di Putrajaya hari ini apabila diminta mengulas bagaimana pihak keselamatan mengendalikan sentimen antipelarian Rohingya supaya tidak mengundang keganasan.

Ismail Sabri turut menyuarakan kehairanannya mengapa isu kedatangan Rohingya secara tiba-tiba meletus memandangkan rata-rata rakyat Malaysia bersimpati dengan nasib dialami mereka sebelum ini termasuk dibakar hidup-hidup dan dibunuh dengan kejam.

“Semua berita itu menyebabkan kita sebagai sebuah negara menerima mereka waktu itu dan tak ada isu pun.

“Tapi akhir-akhir ini tiba-tiba isu ini menjadi besar dan ini juga menghairankan pihak berkuasa.

“Pihak polis terutamanya kerana akhir-akhir ini terlalu banyak berita-berita melalui media sosial, video misalnya dikeluarkan yang menimbulkan kemarahan rakyat kepada mereka,” ujarnya.

Sehubungan itu, pihak polis, ujarnya, sedang menyiasat hal tersebut memandangkan ada dakwaan menyatakan sesetengah video dan audio itu adalah palsu.

“Walau bagaimanapun tiada sesiapa pun boleh menentukan kesahihan palsu atau tidak kecuali pihak polis,” tambahnya lagi.

Tidak terkecuali

Pemerhatian Malaysia Dateline mendapati reaksi kemarahan sebahagian besar rakyat berhubung isu pelarian Rohingya begitu ketara apabila aktivis warganegara Malaysia turut menjadi sasaran kebencian mereka.

Duta Malaysia Majlis Rohingya Eropah (ERC), Tengku Emma Zuriana Tengku Azmi bukan sahaja digelar pengkhianat negara bahkan berdepan dengan buli siber yang turut mengancam keselamatan ahli keluarganya.

Selain gambar lengkap dengan suntingan kenyataan palsu, data peribadi berkaitan saman nombor plat kereta serta nombor kad pengenalan beliau dikongsi sejumlah individu dan pentadbir kumpulan Facebook (FB) tidak bertanggungjawab termasuk membuat semakan status Bantuan Prihatin Nasional.

Tiga laman kumpulan FB yang telah dikenal pasti menceroboh keselamatan privasi Tengku Emma Zuriana serta cenderung menggalakkan serangan netizen terhadapnya adalah “32 Juta Rakyat Malaysia Tolak Rohingya” (29,809 pengikut); Bersatu.Tv (7,597), dan Bersatutv (104,000).

Laman kumpulan FB Bersatu.Tv dan Bersatutv difahamkan media rasmi milik Parti Pribumi Bersatu Malaysia (PPBM).

Turut menimbulkan kebencian dan kemarahan orang ramai terhadap aktivis tersebut secara peribadi adalah pemilik akaun FB Web Schneider dengan 3,402 rakan dan Ammar Daniel yang menyembunyikan jumlah rakan.

Tidak terkecuali menjadi serangan orang ramai adalah pemimpin parti politik sama ada di pihak Perikatan Nasional (PN) lebih-lebih lagi Pakatan Harapan (PH).

Paling teruk diserang Presiden PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim yang menyatakan pendiriannya dalam Tazkirah Nuril Anwar semalam serta Pengarah Komunikasi AMANAH, Khalid Samad merangkap Ahli Parlimen Shah Alam melalui siri ciap di Twitter beliau.

Malah, Ahli Jawatankuasa Pusat Pas, Nik Abduh Nik Abdul Aziz yang antara lain menasihatkan orang Islam sepatutnya menyatakan rasa bersyukur dengan membantu umat yang tertindas serta berfikir untuk menyelesaikan isu bukannya menghamburkan kebencian dan dendam turut mendapat serangan netizen.