Malaysia Dateline

Rakyat diseru keluar mengundi untuk bina semula Melaka

Calon Pakatan Harapan (PH) di Merlimau, Azrin Ab Majid atau lebih dikenali sebagai Cikgu Azrin mengajak agar rakyat keluar mengundi untuk membina semula Melaka ke arah kemakmuran di negeri itu.

Beliau turut berkata, pencalonan Adly Zahari sebagai Ketua Menteri Melaka seperti yang diumumkan PH merupakan berita gembira untuk para pengundi di negeri itu.

“Saya suka sebut kepada para pengundi sekalian pada hari ini, kita mendapat berita yang sangat menggembirakan di peringkat PH. Saya yakin Adly Zahari akan diiytiharkan sebagai Ketua Menteri Melaka jika rakyat memberi mandat kepada PH pada pilihan raya 20 November ini nanti.

“Itu berita yang sangat baik dan jangan lepaskan peluang (untuk mengundi). Saya yakin dan percaya rakyat bijak. Saya yakin dan percaya rata-rata pengundi yang saya temui petang tadi atau siang tadi mereka menyebut very clear (tentang hasrat mengundi).

“Mereka tak kira pengundi Melayu ke, Cina ke, India memang sebut (hasrat mengundi) dan Alhamdulillah PH membuat (keputusan) yang menggembirakan hati mereka. Saya mengharapkan pengundi Melaka jangan terlepas peluang untuk bersama mengundi,” ujarnya dalam siaran langsung di Facebooknya malam tadi.