Malaysia Dateline

Rakyat Dun Jemoreng dan Daro terima MPKK

Penduduk di Dewan Undangan Negeri (Dun) Jemoreng dan Daro dalam Parlimen Igan,Sarawak mengalu-alukan penubuhan Majlis Pengurusan Komuniti Kampung (MPKK) di kawasan mereka.

Penyelaras Penubuhan MPKK Dun Jemoreng dan Daro Ajiji Fauzan berkata,setakat ini sebanyak 42 kampung telah berjaya menubuhkan MPKK di kampung dan rumah panjang yang terdapat di kawasan berkenaan.

Katanya, di Dun Jemoreng dan Daro, kedudukan kampung dan rumah panjang adalah jauh jaraknya antara satu sama lain sekali gus menyukarkan pihaknya untuk menubuhkan MPKK mengikut tarikh yang ditetapkan.

“Setakat yang boleh disahkan kini ialah sebanyak 42 kampung dan rumah panjang di Dun Jemoreng dan Daro telah berjaya menubuhkan di kawasan tersebut.

“Ini kerana kami kesuntukan masa untuk bergerak ke kampung dan rumah panjang lain memandangkan akses menuju ke sana menggunakan pengangkutan jalan laut dan sungai, ” jelas beliau ketika ditemui di Kuching hari ini.

Bagaimanapun,beliau telah memohon kepada pihak penyelarasan peringkat negeri untuk menghantar senarai nama Ahli Jawatankuasa MPKK kampung dan rumah panjang terbabit selewat-lewatnya hujung November nanti.

Menurut Ajiji, rata-rata penduduk setempat di Dun Jemoreng dan Daro begitu teruja dengan penubuhan MPKK di kawasan mereka.

Tegas beliau, melalui MPKK penduduk dan masyarakat khususnya di luar bandar dapat mengetahui program-program yang dilaksanakan oleh Kerajaan Persekutuan.

“Sebenarnya banyak insentif yang disediakan oleh Kerajaan Persekutuan di bawah Pakatan Harapan (PH) tetapi ramai penduduk setempat tidak mengetahuinya.

“Maka dengan adanya MPKK, kita akan dapat memaklumkan kepada orang ramai dan penduduk kampung serta rumah panjang tentang insentif yang disediakan kerajaan pusat seperti MySalam, Peka, B40, Bantuan Sara Hidup (BSH) dan bantuan lain,” ujarnya.