Malaysia Dateline

Rakyat hilang kerja, YB PN ada dua kerja

Ahli Parlimen Setiawangsa Nik Nazmi Nik Ahmad membandingkan bagaimana dalam keadaan rakyat sudah mula kehilangan sumber pendapatan, namun wakil rakyat Perikatan Nasional (PN) pula mempunyai sehingga dua pekerjaan.

Beliau berkata, jumlah Menteri sahaja sudah seramai 32 orang dan Timbalan Menteri sehingga 38 orang, yang berbeza ketika pentadbiran Pakatan Harapan (PH) dengan hanya 26 Menteri dan 27 Timbalan Menteri.

Malah kata Ketua Setiausaha Pengelola Majlis Pimpinan Pusat PKR itu, setiap ahli Parlimen juga menerima gaji sebulan sebanyak RM16,000 dan elaun sebulan RM8,300.

“Ketika rakyat hidup dalam kesusahan, lebih 80 ahli Parlimen PN melakukan ‘dua kerja’. Sebahagiannya ada rekod yang tidak cantik. Kes rasuah. Kes politik wang.

“Kecoh dulu bila rakyat merungut terpaksa melakukan dua kerja, Ahmad Maslan jawab dia ada tiga kerja: Ahli Parlimen, Timbalan Menteri dan Ketua Bahagian Umno.

“Sekarang nampak gayanya, ramai YB PN pun dah (buat) dua kerja,” tempelaknya dalam satu kenyataanya hari ini.

Pada masa sama, Nik Nazmi berkata, bagi ahli yang memegang jawatan Menteri, selain gaji dan elaun ahli Parlimen, mereka turut menerima anggaran gaji Menteri RM13,000 tidak termasuk elaun.

Beliau turut membangkitkan pelantikan Datuk Seri Hadi Awang dan Tiong King Sing yang masing-masing dilantik Duta Khas bertaraf Menteri ke Timur Tengah dan China.

Menurutnya, pelantikan ahli PN di Syarikat Berkaitan Kerajaan (GLC) juga pasti menggembirakan mereka.

“Elaun di GLC berbeza-beza. Antara yang paling gembira tentulah Pengerusi Tenaga Nasional Berhad (TNB) baru yang akan masuk pejabat esok, (Datuk Seri) Mahdzir Khalid.

“Tahun lepas, Pengerusi TNB menerima bayaran elaun dan lain-lain berjumlah RM876,790.57 (setahun). Jadi pendapatan Mahdzir setahun akan mencecah RM1 juta!” katanya.

Pada 8 Mei lalu, TNB mengumumkan pelantikan Mahdzir sebagai Pengerusi baharunya berkuatkuasa 12 Mei ini.

Perlantikan tersebut bagi menggantikan Tan Sri Ahmad Badri Mohd Zahir yang dilantik sebagai Pengerusi Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) bermula 1 Mei lalu.

Terdahulu, pada 12 April, Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Parlimen dan Undang-undang), Datuk Takiyuddin Hassan dilaporkan berkata, ahli Parlimen PN yang tidak memegang jawatan sebagai Menteri dan Timbalan Menteri akan dilantik mengetuai GLC.

Sementara itu, Nik Nazmi memetik laporan Jabatan Perangkaan Malaysia pada Mac lalu, yang merekodkan sehingga 600,000 rakyat Malaysia mula menganggur iaitu tertinggi dalam tempoh 10 tahun.

Beliau berkata, lebih menakutkan lagi, Persekutuan Majikan-Majikan Malaysia (MEF) menganggarkan jumlah pengangguran itu akan meningkat kepada sejuta orang.

Manakala menurutnya, 2.8 juta lagi bekerja sendiri sebagai petani, nelayan, penjaja atau bekerja sendiri, yang sangat terjejas dengan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).

“Mungkin elok disenaraikan satu demi satu 80 Ahli Parlimen ini termasuk kelulusan mereka serta gaji dan elaun yang akan diterima. Sekurang-kurangnya, pengundi mereka akan tahu,” tegas Nik Nazmi lagi.