Rakyat hina YDP Agong wajib dihukum, dicari hingga ke lubang cacing, kata Perkasa

Rakyat hina YDP Agong wajib dihukum, dicari hingga ke lubang cacing, kata Perkasa

Perkasa Malaysia mahu polis mengambil tindakan segera ke atas pemilik akaun facebook Desmond Yongkor yang membuat kenyataan menghina Yang Dipertuan Agong ke-16 Al Sultan Abdullah dengan menamakan dan menerupakan baginda dengan syaitan atau iblis.

Nasrul Ali Hasan Abdul Latif

Ketua Penerangannya Nasrul Ali Hasan Abdul Latif berkata, pertubuhan itu telah membuat laporan polis semalam, ke atas pemilik akaun tersebut yang memuat naik kenyataan menghina YDP Agong itu pada 31 Januari lepas.

“Ini bukanlah kali pertama Desmond membuat poster penghinaan sebegini. Dia kelihatan sengaja membuat poster berkenaan dengan niat yang bersifat menghina Islam dan Raja-Raja Melayu.

“Perbuatan menghina Duli Yang Maha Mulia Yang Di-Pertuan Agong adalah suatu tindakan provokasi yang mencabar kedaulatan Raja-Raja Melayu yang merupakan ketua Agama Islam di negara ini.

“Sebelum ini, dia pernah dibebaskan dari tuduhan mahkamah atas kesalahan yang sama dengan mudah. Iaitu hanya dengan alasan dia kehilangan telefon bimbitnya dan digodam oleh orang yang tak bertanggungjawab dengan memuatnaik ke laman Facebooknya dengan menghina Nabi Muhammad S.A.W dan agama Islam,” ujarnya dalam kenyataan hari ini.

Justeru ujarnya lagi, Perkasa menggesa tindakan tegas diambil oleh Pihak Berkuasa kepada Desmond dan sesiapa sahaja yang berniat khianat dengan mempersendakan YDP Agong yang juga merupakan Ketua Negara dan selaku Ketua Agama Islam bagi negeri Wilayah Persekutuan, Melaka, Pulau Pinang, Sabah dan Sarawak.

“Pengajaran haruslah diberi pada mereka yang cuba menginjak perpaduan dan keharmonian negara ini.

“Perkasa sedar dengan keadaan semasa, pihak polis amat rumit untuk bertindak dan mengambil tindakan ke atas golongan yang biadab dan kurang ajar ini kerana undang-undang sedia ada tidak mencukupi.

“Akta Hasutan, Akta SOSMA juga di serang oleh pihak tertentu untuk di mansuhkan. Sebelum dimansuhkan, ISA menjadi mekanisme bagi melindungi hal-hal yang menyentuh sensitiviti dan keharmonian rakyat Malaysia.

“Namun, Perkasa berharap agar isu ini tidak disejuk bekukan dan terserah kepada Pihak Berkuasa untuk mengambil tindakan yang sewajarnya supaya ia tidak berulang lagi,” ujarnya.

Tinjauan di facebook Desmon Yongkor hari ini mendapati laman itu telah ditutup.

Semalam turut membuat laporan polis 20 pertubuhan bukan kerajaan (NGO) dan jabatan kerajaan termasuk Jabatan Agama Islam Pahang (JAIP) membuat laporan polis terhadap pemilik akaun Facebook menggunakan nama Desmond Yongkor kerana menghina Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah Ibni Sultan Ahmad Shah Al-Musta’in Billah yang dilantik sebagai Yang di-Pertuan Agong Ke-16.

Antara yang membuat laporan ialah Badan Kebajikan Kerabat-kerabat Negeri Pahang, Ikatan Pelajar Islam Pahang, Pertubuhan Akademi Pendidikan Indera Mahkota, Gerakan Anak Melayu Pahang, Pertubuhan Himpunan Lepasan Institusi Pendidikan Malaysia (Haluan) Pahang, Angkatan Belia Islam Malaysia (ABIM) Pahang dan Umno Bahagian Kuantan.