Rakyat ingatkan jangan beri muka kepada Jack Ma

Ruang yang diberi Najib kepada Jack Ma dalam sektor e-dagang dibimbangi menjejaskan peniaga digital tempatan. 

Rata-rata pengguna media sosial berpendapat kerjasama kerajaan Malaysia dalam membangunkan ekonomi digital negara dengan Pengasas dan Pengerusi Eksekutif Alibaba, Jack Ma perlu diteliti semula.

Pengguna Facebook, Zaini Annuar mendakwa aktiviti e-dagang ekoran pelantikan Ma sebagai penasihat kerajaan dalam bidang ekonomi digital ketika era Najib Razak lalu menjejaskan perniagaan atas talian pengusaha tempatan.

Sehubungan itu, beliau berharap kerajaan Pakatan Harapan (PH) merangka mekanisme berkaitan dalam menangani isu berkaitan hala tuju dan impak Zon Dagang Bebas Digital (DFTZ).

“Alibaba beli syarikat Lazada telah menjejaskan perniagaan atas talian pengusaha tempatan apabila syarikat dari negara Cina boleh menawarkan harga rendah yang tentu sekali tidak dapat ditandingi oleh para peniaga tempatan,” katanya.

Sementara itu, Abdul Wahub berpendapat ekonomi e-dagang perlu menjaga maklumat dan data-data untuk kemajuan peniaga tempatan.

Beliau berkata, peniaga China tidak harus bebas mempunyai akses berkaitan kepentingan rakyat di negara ini bagi mengelakkan penindasan ekonomi tempatan.

“Apa jua intipati ekonomi harus memihak kepada negara. Pastikan bukan peniaga negara China yang beroleh input dan akses maksimum dan peniaga Malaysia melukut di tepi gantang,” tegasnya.

Pengguna Facebook, Aminah Ramzan pula berhujah Amerika Syarikat (AS) mengenakan cukai tinggi kepada barangan China kerana barangan keluaran negara komunis itu terlalu murah dan dilihat mengancam peniaga tempatan.

Bagi Shamsulkamal Abdul Shukor, kerajaan PH perlu mengutamakan usahawan tempatan sebagai penasihat kewangan di negara ini memandangkan pelantikan warga asing bagi tujuan tersebut tidak menguntungkan negara.

“Dia jadi penasihat kewanganlah sebabkan ekonomi kita macam ini. Cari orang tempatan sajalah,” bidasnya.

Menurut Mohd Arip pula, Malaysia baharu harus lebih baik membuka peluang kepada rakyat Malaysia memandangkan Ma hanya mengaut keuntungan digital dan tidak membantu ekonomi negara ini.

“Apa yang dilakukan oleh Jack Ma mampu dilakukan oleh rakyat Malaysia sekiranya kerajaan membantu platform tersebut.

“Ramai anak muda pakar dalam digital sebagai contoh produk hijab Malaysia berkesan dalam PKS (perusahaan kecil dan sederhana) Malaysia,” katanya.

Ramai juga netizen menggesa kerajaan PH tidak terlalu ‘memberi muka’ kepada China seperti kerajaan BN yang dipimpin Najib sebelum ini.

“Lebih baik Tun Mahathir ambil Kesatuan Eropah sebagai rakan dagang berbanding China. Matlamat China tak lebih dari satu – penjajahan ke atas negara yang menuju muflis di Asia dan Afrika dengan menawarkan hutang,” ujar Munir Ismail.

Pada 4 November 2016, Najib mengumumkan pelantikan Jack Ma sebagai Penasihat Ekonomi Digital Kerajaan Malaysia dalam ucapannya di Beijing pada pelancaran Pavilion Pelancongan Alitrip Malaysia, sebuah platform e-dagang Kumpulan Alibaba.

Dalam perkembangan berkaitan, Jack Ma dijadual bertemu dengan Tun Mahathir di Putrajaya hari ini.

Ma, 54, turut dijangka melancarkan pejabat Alibaba di Bangsar, Kuala Lumpur yang dikatakan bakal menjadi Platform Dagangan Elektronik Dunia (eWTP) pertama Alibaba di luar China.

9.0
OVERALL SCORE
: 10.0
1 user vote x 8.0
CATEGORIES
TAGS