Rakyat jauh hati dengan PH, BN belum tentu dapat kepercayaan

Rakyat jauh hati dengan PH, BN belum tentu dapat kepercayaan

Kemenangan Barisan Nasional (BN) selepas memenangi Pilihan Raya Kecil (PRK) di Dun Rantau bukan kesimpulan yang menyebelahi pihak pembangkang biarpun menguasai kemenangan selesa.

Geostrategis Institut Geospatial dan Sekolah Perdana, Universiti Teknologi Malaysia (UTM), Azmi Hassan berkata, kemenangan BN adalah atas faktor citarasa pengundi tempatan bukannya nasional selain kerjasama parti itu sendiri dengan Pas

Katanya, penggunaan strategi kerjasama dengan Pas hanya boleh digunapakai untuk meraih golongan pengundi tertentu sahaja dan tidak cukup untuk dibawa sehingga Pilihan Raya Umum (PRU-15).

“Strategi mereka agak mudah iaitu kerjasama dengan Pas demi pertahankan agama dan bangsa. Tapi perlu diberi perhatian bahawa strategi ini hanya efektif untuk golongan sasaran pengundi tertentu sahaja dan tidak cukup untuk dibawa sehingga PRU-15.

“PH ada masa 4 tahun untuk menongkah fenomena momentum kebangkitan BN ini. Benar sekali ianya adalah terlalu awal untuk mengatakan BN berada dalam keadaan dimana mereka sudah mendapat kepercayaan masyarakat,” katanya kepada Malaysia Dateline.

Kekalahan PH 

Namun katanya lagi, kekalahan Pakatan Harapan (PH) tiga kali berturut-turut selepas PRK Cameron Highland dan PRK Semenyih, dilihat sebagai isyarat ‘rajuk’ bahawa rakyat berjauh hati dengan harapan tinggi yang diberikan kerajaan pada PRU14.

“Jauhnya hati rakyat terhadap kerajaan PH kerana kesilapan PH itu sendiri. Beberapa menteri didapati tidak kompeten bukan sahaja mengurus tadbir kementerian masing-masing tapi dilihat gagal jaga kepentingan penduduk majoriti.

“Situasi ini disambar oleh BN yang memberi persepsi kerajaan PH tidak boleh mentadbir negara. Janji yang tidak ditunaikan itu satu hal, dan ditambah lagi apabila kerajaan banyak kali buat U-turn terhadap keputusan yang dibuat.

“Memang tepat sekali ungkapan jauh hati digunakan kerana harapan yang tinggi diberi oleh kerajaan dimungkiri oleh ahli politik parti itu sendiri,” Jelasnya.

Beliau juga berkata, kekalahan PH bukan kesalahan calon itu sendiri iaitu Dr Streram, tetapi ia merupakan kesilapan strategi apabila PH cuba menonjolkan Streram sebagai lawan kepada Tok Mat.

Tambahnya, kesalahan tersebut tidak patut diletakkan kepada Streram tetapi harus dilihat kembali strategi PH dan paling utama tokoh pemimpin PKR yang berkeras memilih Streram walaupun mengetahui bahawa Streram bukan saingan Tok Mat.

“Jika dihitung faktor calon, sememangnya diduga pencalonan PH tersasar, bukan kerana calon itu, tetapi kerana calon lawan iaitu Tok Mat.

“Menjadi satu kesilapan strategi apabila PH cuba menonjolkan Streram sebagai lawan sepadan dengan Tok Mat kerana hakikatnya jika diambil kira jasa dan aura Tok Mat, maka Streram jauh ketinggalan,” ujarnya.