Malaysia Dateline

Rakyat Johor diyakini tolak pemimpin rasuah

Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor diyakini akan menjadi gelanggang yang akan dimanfaatkan rakyat di negeri selatan tanah air itu untuk memilih pemimpin bebas rasuah.

Naib Presiden AMANAH, Adly Zahari berkata, proses demokrasi dengan kemuncaknya pembuangan undi esok akan menyaksikan parti kleptokrat ditolak oleh pengundi.

“Saya cukup yakin kerana rakyat Johor telah menunjukkan kecerdikan mereka dalam pilihan raya umum yang lalu (PRU-14) yang tidak menerima perasuah dan pemimpin yang tiada integriti,” katanya.

PRN Rakyat Johor diyakini tolak pemimpin rasuah
Adly Zahari

Mengulas sikap pemilih berdaftar yang enggan keluar mengundi, Adly mengingatkan bahawa seluruh kehidupan ditentukan oleh pemimpin.

“Hatta kalau tidak keluar mengundi pun, itu juga adalah keputusan kepada kepimpinan itu.

“Jangan kita anggap, kalau tidak keluar mengundi maka terpulanglah apa yang berlaku pada negara.

“Sebenarnya tidak keluar mengundi adalah satu keputusan dalam pilihan raya itu sendiri tetapi kita tidak dapat menentukan kepimpinan kita,” ujarnya.

Beliau berkata demikian dalam Ceramah Mega Pakatan Harapan (PH) Johor kelmarin.

Adly turut mengingatkan agar pengundi di Johor mengambil iktibar daripada keputusan PRN Melaka pada November tahun lalu yang menyaksikan undi selain daripada PH akhirnya akan memenangkan BN.

“Sebab itu saya ulang, ambil pengajaran daripada PRN Melaka. Memang kita kecewa tetapi daripada keputusan itu sepatutnya memberikan pengajaran yang besar kepada rakyat Malaysia.

“PN (Perikatan Nasional) masih jauh lagi untuk menandingi BN. Pesaing utama BN terutama di Johor adalah PH,” tambahnya lagi.

Esok seramai 2.576 juta pengundi berdaftar layak mengundi pada PRN Johor.

Terdapat kira-kira 28 peratus peningkatan jumlah pengundi di Johor dengan pertambahan 749,731 pengundi berusia 18 tahun ke atas susulan pendaftaran automatik Undi18.