Malaysia Dateline

Rakyat Johor perlu hukum mereka yang menyebabkan PRN berlaku

Rakyat Johor perlu sedar dan menghukum mereka yang gila kuasa sehingga menyebabkan Pilihan Raya Negeri (PRN) diadakan pada ketika ini.

Menurut Pengerusi Biro Politik dan Mobilisasi Mahasiswa AMANAH Nasional, Muhammad Abrar Sadiq Azizi, kerapuhan yang berpunca dari kelemahan Umno sendiri, kini menyebabkan rakyat pula terpaksa diheret ke kancah PRN Johor.

“Apabila berlaku PRN Johor hanya kerana alasan perbezaan satu kerusi, ia membuktikan kerajaan yang wujud tidak stabil dan ia membawa kepada ingatan kita situasi 2004 apabila Pas hanya menang 24 kerusi DUN Kelantan.

“Manakala setahun selepas itu, ADUN mereka telah meninggal dunia dan berlakulah Pilihan Raya Kecil (PRK) Pengkalan Pasir dan Pas tewas menyebabkan kedudukan DUN berada pada angka hanya satu majoriti iaitu 23-22.

“Namun begitu kerajaan Kelantan kekal bertahan sehingga Pilihan Raya Umum (PRU) 2008 dan hampir 4 tahun tiada gangguan dan usikan oleh Umno Kelantan tatkala itu walaupun kerajaan negeri digelar sebagai ‘kerajaan dua undi’ setelah salah satu DUN yang mereka menangi iaitu DUN Kemuning hanya mendapat majoriti 2 undi,” ujar beliau dalam satu kenyataan hari ini.

Tegas Abrar lagi, yang lebih pelik di Johor, kerajaan campuran BN dan PN hanya berbeza 1 kerusi sahaja dengan Pakatan Harapan setelah kematian ADUN Bersatu, Osman Sapian yang juga bekas MB Johor, tetapi masih lagi ingin diadakan PRN.

“Yang nyata ialah Umno Johor kelihatan lebih risaukan kehilangan kuasa memerintah yang mereka miliki. Tambahan pula Speaker dari pihak pembangkang telah mengheret mereka sehingga membuat keputusan untuk membubarkan DUN,” tambahnya lagi