Malaysia Dateline

Rakyat Kelantan bayar caj parkir lebih mahal daripada Shah Alam

Siapa sangka kadar caj letak kereta di Kelantan lebih tinggi daripada kawasan pentadbiran Majlis Bandaraya Shah Alam (MBSA) di Selangor yang jauh lagi pesat dengan aktiviti ekonomi.

Ketua Pemuda AMANAH Kelantan, Hazmi Hassan mendedahkan kadar caj parkir di Kota Bharu, Pengkalan Chepa dan Machang adalah lebih mahal daripada MBSA.

“Untuk makluman perantau rakyat Kelantan, ‘walaun’, ahli Pas dan semua rakyat, caj parking di Kota Bharu, Pengkalan Chepa dan Machang lebih mahal daripada caj di Shah Alam,” katanya.

Beliau berkata demikian menerusi saluran Youtube miliknya, Jeming Hassan – Youtuber Rakyat selepas membayar caj parkir di kawasan pasar di Pengkalan Chepa.

Parking di pasar Pengkalan Chepa di bawah kawasan kerajaan negeri, kena bayar lagi dengan 40 sen bagi setengah jam pertama.

“Berbeza dengan (Pasaraya) Pantai Timur, satu jam pertama adalah percuma,” kata Ketua AMANAH Kawasan Pengkalan Chepa itu.

Untuk rekod, kadar caj letak kereta dalam kawasan MBSA ialah 60 sen sejam. Kadar itu bermula sejak 1 April 2019 selepas selama 21 tahun hanya 40 sen sejam.

Hazmi Hassan
Hazmi Hassan

Dalam masa sama, Hazmi berpendapat caj parkir 80 sen sejam di Kota Bharu, Pengkalan Chepa dan Machang tidak berbaloi dengan perkhidmatan yang disediakan pihak berkuasa tempatan (PBT).

“Adakah anda rakyat Kelantan berpuas hati bayar (caj letak kereta) 40 sen untuk setengah jam dan 80 sen untuk sejam pertama?

“Rumput di tepi jalan masih banyak yang panjang. Tong sampah pun masih banyak tidak terangkat,” dakwanya.

Beliau juga menyatakan Majlis Perbandaran Kota Bharu-Bandar Raya Islam (MPKB-BRI) telah menswastakan sistem caj letak kereta.

“Tidak tahulah berapa jumlah pihak swasta bayar kepada kerajaan negeri. Namun, yang mengeluarkan saman dan mengunci tayar kereta masih lagi kakitangan MPKB,” katanya.

Sehubungan itu, Hazmi menyarankan kerajaan negeri Kelantan agar mempertimbangkan potongan bagi caj letak kereta sepanjang tempoh pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).

“Adakah kerajaan negeri mampu lagi membuat kebajikan kepada rakyat mungkin memberi separuh harga parking atau menghentikan bayaran parking ketika PKP ini?

“Mampukah kerajaan negeri melalui pihak PBT melakukan hal sedemikian untuk rakyat Kelantan?” soalnya lagi.