Malaysia Dateline

Rakyat Kelantan diharap bersabar, tukar paip air lama perlu dana besar

Selepas 30 tahun menguasai Kelantan, kerajaan negeri Pas masih berharap rakyat negeri itu bersabar menghadapi masalah bekalan air bersih.

Timbalan Menteri Besar, Datuk Mohd Amar Nik Abdullah berkata, rakyat Kelantan perlu terus bersabar serta lebih memahami bahawa isu bekalan air yang disalurkan oleh Syarikat Air Kelantan Sdn Bhd (AKSB) tidak boleh diselesaikan dalam masa singkat.

Menurutnya, masalah paling besar yang dihadapi oleh syarikat itu ialah menukar paip air lama yang turut memerlukan peruntukan besar yang hanya dapat diselesaikan sekurang-kurangnya lima tahun akan datang.

“Menukar paip ini memerlukan masa yang lama dan peruntukan yang besar dan ini yang kita usahakan,” katanya kepada pemberita selepas mesyuarat Exco Kerajaan Negeri di Kompleks Kota Darulnaim di sini, hari ini.

Naib Presiden Pas itu mengulas rungutan sebahagian besar rakyat di Kelantan yang masih dibelenggu masalah bekalan air bersih.

Mengulas lanjut, Mohd Amar turut berterima kasih kepada Putrajaya yang telah memperuntukkan RM7 bilion bagi mengatasi masalah tersebut.

Julai lalu, Menteri Alam Sekitar dan Air Datuk Seri Tuan Ibrahim Tuan Man berkata,
masalah air di Kelantan akan selesai dalam tempoh 30 hingga 40 tahun.

Timbalan Presiden Pas itu berkata, masalah bekalan air di Kelantan akan diselesaikan secara berperingkat menerusi projek tebatan banjir, penggantian saluran paip baru dan menaik taraf loji air sedia ada.

Air Kelantan Sdn Bhd (AKSB) pada Januari lalu memberi jaminan Kelantan tidak akan mengalami krisis bekalan air pada masa depan memandangkan separuh bekalannya diperoleh daripada air bawah tanah.

Kata AKSB, purata pengeluaran air di negeri itu sebanyak 503 juta liter sehari dengan 36 loji rawatan air bukan bergantung sepenuhnya kepada sungai.