Malaysia Dateline

Rakyat Kelantan guna ‘boring’ tanpa lesen boleh didenda tidak lebih RM300,000?

Rakyat Kelantan yang mengguna sumber air tanah dari telaga tiub atau boring tanpa memohon lesen Abstraksi Air Tanah daripada Jabatan Sumber Air Negeri Kelantan akan berdepan dengan tindakan denda.

Mangikut Seksyen 13(4) Enakmen Sumber Air Negeri Kelantan 2019, mana-mana orang yang gagal mendapatkan lesen daripada pengarah di bawah Subseksyen (1) atau melanggar mana-mana syarat mengenai lesen yang dikeluarkan di bawah subseksyen (3) adalah bersalah dan boleh disabitkan denda tidak melebihi RM300,000 atau sebagai tambahan dikenakan denda RM1,000 sehari setiap hari sepanjang kegagalan atau pelanggaran itu berterusan.

Tular satu surat daripada Jabatan Sumber Air Negeri Kelantan yang mengarahkan salah seorang pemilik premis agar mematuhi peraturan Enakmen Sumber Air Negeri Kelantan 2019.

Dalam surat tersebut yang tidak dinyatakan tarikh dan nama pemilik premis berkenaan, pihak Jabatan Sumber Air memaklumkan telah mengadakan pemeriksaan ke atas premis terbabit dan mendapati pemilik premis tidak memohon lesen Abstraksi Air Tanah sepanjang sepanjang menggunakan air tanah sebagai sumber air operasi di premisnya.

Justeru menurut surat terbabit yang ditandatangani Timbalan Pengarah Pengurusan Jabatan Sumber Air Kelantan Wan Asma Suhana Wahida Wan Deraman pemilik premis terbabit dikehendaki mengambil tindakan dalam masa tujuh hari dari tarikh surat tersebut bagi mengelakkan daripada dikenakan tindakan undang-undang.