Malaysia Dateline

Rakyat Kota Bharu mula gelombang tolak Takiyuddin

Gelombang kebencian dan penolakan rakyat terhadap Ahli Parlimen Kota Bharu Datuk Seri Takiyuddin Hasan mula jelas kelihatan sejak dari kenyataan celupar bernada biadab terhadap Titah Diraja seperti yang dikeluarkan oleh Menteri Parlimen dan Undang-undang itu baru-baru ini.

Tular sejak pagi ini beberapa kain rentang buatan sendiri yang dinaikkan oleh rakyat yang menyatakan nada berbaur kecaman dan kemarahan terhadap Takiyuddin yang dinaikkan di beberapa tempat sekitar Kota Bharu.

Menerusi laporan yang diterima dan tinjauan yang dibuat oleh pihak Malaysia Dateline di sekitar Kota Bharu, didapati sekurang-kurangnya dua kain rentang yang mengecam Takiyuddin dinaikkan.

Salah satunya bertulis “Taki Penjilat Mahiadin” dinaikkan di hadapan Masjid Bandar Sultan Muhammad II Telipot, sebuah masjid yang terletak berhampiran Istana Telipot dalam daerah Kota Bharu yang merupakan Istana Kediaman Rasmi Sultan Muhammad V, Sultan dan Yang Di Pertuan bagi negeri Kelantan.

Sebuah lagi kain rentang yang bertulis “Taki Penderhaka Istana” dikesan telah dinaikkan di hadapan Pasaraya Billion Jalan Langgar Bandar Kota Bharu, yang terletak berhadapan lorong masuk ke Masjid D’Raja Long Yunus Langgar, sebuah masjid yang terletak bersebelahan Makam Diraja Langgar, sebuah kompleks pemakaman rasmi kerabat Istana Kelantan.

Kain rentang ini dinaikkan di hadapan Masjid Bandar Sultan Muhammad II Telipot,

Ketua Pemuda AMANAH Kelantan Zulhazmi Hassan ketika dihubungi oleh pihak Malaysia Dateline menafikan pihak Pemuda AMANAH Kelantan bertanggungjawab terhadap kain rentang yang dinaikkan tersebut.

“Kita dari Pemuda AMANAH Kelantan tidak membuat dan memasang sepanduk sebegitu, kerana setakat perkembangan tindakan kita terhadap isu kebiadaban Takiyuddin, kita baru sahaja buat laporan polis semalam.

“Mungkin sepanduk buatan sendiri itu ialah hasil manifestasi kemarahan rakyat kepada Takiyuddin yang kini nampak semakin mabuk kuasa hingga tergamak membuat kenyataan yang bersifat persendaan kepada Titah Yang Di Pertuan Agong yang meminta Kerajaan PN segerakan pembukaan Parlimen,” kata Zulhazmi.

Hubungan Takiyuddin dengan pihak Istana Negeri Kelantan menjadi perbualan ramai dalam kalangan rakyat negeri ini, apabila pada Januari 2001 dahulu, Istana Negeri Kelantan pernah menarik balik Surat Tauliah dan Darjah Kebesaran yang pernah dianugerahkan kepada Takiyuddin.