Malaysia Dateline

Rakyat langgar PKP kerana pemimpin sendiri ingkar

Sikap sebahagian rakyat yang mengingkari Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) seperti dapat dilihat pada sejumlah gambar dan rakaman video berpunca daripada kesilapan pemimpin itu sendiri.

Pemikir Parti Amanah Negara (AMANAH) Negeri Johor, Dr Mohd Zuhan Mohd Zain berpendapat pemimpin kerajaan seharusnya menunjukkan teladan yang terbaik untuk dicontohi rakyat.

Katanya, terdapat beberapa pemimpin sebelum ini yang bertindak membelakangkan arahan jarak sosial, berkumpul beramai-ramai serta kegagalan mematuhi pemakaian keselamatan.

“Dapat diperlihatkan bagaimana golongan pemimpin melakukan aktiviti yang membelakangkan arahan PKP ini dan ia akan mengakibatkan perkara itu menjadi ikutan rakyat.

“Hari ini kita semua tahu, media sosial sudah menjadi tontonan utama rakyat. Namun ada pemimpin yang tanpa segan silu mempamerkan tindakan yang jelas membelakangkan arahan PKP.

“Seharusnya, pemimpin perlu menunjukan contoh yang terbaik dalam berdepan dengan arahan PKP ini bukan sebaliknya,” katanya ketika dihubungi Malaysia Dateline.

Menurut Zuhan, terdapat juga pemimpin tertinggi di Malaysia membeli belah di pasaraya bersama isteri dan hal tersebut jelas melanggar arahan kerajaan.

Selain itu, menurutnya lagi, kerajaan sendiri seperti keliru dalam membuat keputusan berkenaan operasi premis yang dibenarkan oleh pihak mereka.

“Ada pemimpin yang masa inilah hendak membuat perasmian sehingga ada agenda memotong reben, ada juga pemimpin yang berkata hanya ketua keluarga sahaja yang dibenarkan pergi ke pasaraya sedangkan beliau sendiri tidak mematuhinya dengan membawa isterinya sekali.

“Terdapat juga kekeliruan dalam memberi arahan kepada premis yang boleh beroperasi namun selepas mendapat kecaman ianya ditarik balik.

“Hal ini semua jelas menunjukkan bahawa pemimpin tidak konkrit dalam menggalakkan rakyat untuk bersabar berada di rumah.

“Dasar dan tindakan pemimpin ini akan mencerminkan sebuah pemerintahan itu yang akan dianggap pincang oleh rakyat sekali gus menjadikan rakyat muak mendengar arahan yang pemimpin itu sendiri melanggarnya,” katanya.

Zuhan turut mengingatkan bahawa manusia akan mengikut pedoman yang diperhatikan oleh mereka.

Sehubungan itu, tambahnya, pemimpin kerajaan dinasihatkan agar tidak menunjukkan contoh buruk kepada rakyat di negara ini.