Malaysia Dateline

‘Rakyat macam nak mati ikut SOP kerajaan’ – Ketua Pemuda PH

Ketua Pemuda Pakatan Harapan, Shazni Munir Mohd Ithnin menempelak sikap kerajaan yang terus berdegil melaksanakan darurat dan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) sehingga melemaskan rakyat.

Beliau berkata, rakyat akur dengan kehendak kerajaan untuk mematuhi PKP 3.0 tetapi kerajaan tidak memahami bahawa apa yang rakyat perlukan hanyalah bantuan insiatif untuk mereka terus menjalani kehidupan seperti biasa.

Beliau juga menyifatkan kerajaan hanya mahu rakyat berkorban supaya kes boleh diturunkan, namun masih menyalahkan rakyat apabila kes terus meningkat.

“Apabila diisytiharkan PKP 3.0, rakyat seboleh mungkin cuba ikut apa yang dikehendaki kerajaan. Peniaga tepi jalan dan pasar malam semua akur. Mereka cuma minta insitaif sebab mereka tengah susah.

“Malangnya dalam pada mereka ikut dan akur aturan PKP, kerajaan melalui kenyataan berkata punca kes naik sebab rakyat tak ikut SOP. Ini keluar dari mulut pemimpin negara. Dia buta, dia tak nampak bahawa rakyat macam nak mati ikut SOP.

“Dalam keadaan tak sedar juga, menteri langgar SOP secara membabi buta tanpa sebarang rasa bersalah,” bidasnya dalam Sidang Media Anak Muda: Kesan Proklamasi Darurat Terhadap Anak Muda yang dianjurkan oleh Jawatankuasa Merayu Penamatan Proklamasi Darurat, di Facebook NextStep Malaysia hari ini.

Shazni yang juga Ketua Pemuda AMANAH Nasional itu juga menegur tindakan kerajaan yang seolah-olah melayan rakyat seperti pengemis dan hanya bersetuju menyalurkan lebih banyak bantuan selepas desakan demi desakan disuarakan.

“Sepatutnya dalam fasa darurat inilah kerajaan memanfaatkan untuk bagi sebanyak mungkin bantuan kepada rakyat terjejas.

“Tapi itu tak berlaku. Minta moratorium pun macam mengemis. Minta duit sendiri di Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) pun macam mengemis duit kerajaan,” katanya lagi.