Rakyat mahu Anwar ganti Mahathir

Rakyat mahu Anwar ganti Mahathir

Kajian mendedahkan hampir 45 peratus respon rakyat Malaysia memilih Datuk Seri Anwar Ibrahim sebagai pemimpin yang lebih layak menjadi Perdana Menteri kelapan menggantikan Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad.

Naib Canselor Universiti Selangor (UNISEL), Prof Datuk Mohammad Redzuan Othman, berkata, kajian yang dilakukannya itu menunjukkan rakyat memiliki kefahaman tinggi tentang isu peralihan kuasa yang sedang berlaku.

Katanya, ia disusuli dengan 16 peratus rakyat Malaysia yang menyebut Tan Sri Muhyiddin Yassin sebagai pengganti yang layak, dan 11 peratus Datuk Seri Azmin Ali.

“Saya rasa perlu ada kaji selidik khusus menilai setahun selepas PH (Pakatan Harapan) menang pilihan raya dan melihat bagaimana prestasi PH disamping memasukkan elemen khusus iaitu siapa yang paling layak menjadi PM kelapan.

“Sebelum ini, Dr Mahathir memberitahu bahawa beliau akan menjadi Perdana Menteri untuk tempoh dua tahun, malah beliau juga berkata akan menepati janji di saat ada suara-suara yang meminta beliau untum mentadbir sehingga lima tahun.

“Jadi, apabila kami tanya (rakyat) bila Dr Mahathir perlu lepaskan jawatan, 75 peratus berkata tidak melebihi dua tahun.

“Jadi, apa yang dibincangkan sebelum ini (tempoh dua tahun adalah tempoh yang baik untuk menjadi PM), merupakan persepsi dari rakyat sendiri. Mereka yang mahu,” jelasnya.

Beliau berkata demikian dalam Diskusi Buku Anwar PM Ke-8, Janji Serah Kuasa Yang Mesti Ditepati, di Vista Alam Seksyen 14, Shah Alam semalam.

Tambahnya, respon sebanyak 45 peratus itu secara tidak langsung menunjukkan bahawa Anwar Ibrahim tidak memiliki pencabar dalam mengambil tampuk kuasa pentadbiran.

Turut hadir, Penasihat Media dan Komunikasi Perdana Menteri, Datuk A Kadir Jasin; bekas Presiden Transparency International Malaysia (TI-M), Datuk Seri Akhbar Satar; editor Astro Awani sebagai moderator, Nazri Kahar; dan penulis buku, Shahbudin Husin.

 

Dari kiri: Nazri Kahar, Prof Datuk Mohammad Redzuan Othman, Datuk A Kadir Jasin dan Datuk Seri Akhbar Satar.