Malaysia Dateline

Rakyat Malaysia bekerja di Singapura dilarang ke negara itu mulai esok

Rakyat Malaysia yang bekerja dan berulang alik ke Singapura, dilarang ke negara berkenaan mulai esok.

Perkara tersebut disahkan oleh Ketua Pengarah Imigresen, Khairul Dzaimee Daud seperti yang dipetik melalui laporan Malaysiakini.

Ia selepas pengumuman Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin yang mengeluarkan perintah kawalan pergerakan bermula esok, 18 Mac sehingga 31 Mac.

“Tidak dibenarkan bermula esok hingga 31 Mac,” kata Khairul.

Penjelasan itu menjawab persoalan yang dibangkitkan berkenaan kira-kira 300,000 rakyat Malaysia yang menetap di Johor tetapi bekerja di Singapura.

Dalam pengumuman semalam, kerajaan akan melaksanakan sekatan menyeluruh terhadap rakyat Malaysia ke luar negara selama 14 hari, manakala mereka yang baru pulang dari luar negara perlu menjalani pemeriksaan kesihatan dan kuarantin secara sukarela.