Malaysia Dateline

Rakyat Malaysia berang kerajaan hantar stok vaksin ke negara lain

Keputusan kerajaan yang memutuskan untuk menyalurkan sebanyak 50,000 dos vaksin Covid-19 ke Bosnia Herzegovina, mengundang kecaman pelbagai pihak yang menurut mereka tindakan berkenaan seperti meminggirkan rakyat Malaysia yang masih belum menerima suntikan vaksin.

Mereka mengumpamakan tindakan kerajaan itu ibarat ‘kera di hutan disusukan, anak di rumah kelaparan’ apabila lebih mengutamakan negara lain dari rakyat sendiri yang kebanyakannya masih belum menerima suntikan vaksin pertama.

Ada di antara mereka yang mendakwa sudah menunggu dua bulan hanya untuk mendapatkan suntikan pertama dalam keadaan ahli-ahli politik lain sudah pun mendapatkan suntikan dos kedua.

Mereka juga mempersoalkan di mana keutamaan kerajaan ketika ini.

“Di mana logiknya untuk kerajaan menyerahkan vaksin kami kepada negara lain. Sedangkan ‘progress’ vaksinasi kita pun kurang dari dua peratus. Apa keutamaan anda?,” soal pengguna Twitter.

“Fokus pada negara sendiri boleh tak?,” tanya pengguna lain.

“Rakyat Malaysia pun belum dapat, apa ini? Mesti orang dalam kerajaan dapat untung dari keputusan ini,” kata mereka.

Selain itu, ada yang berpendapat sikap kerajaan merupakan satu pengkhianatan kepada rakyat Malaysia dan akan membalas tindakan itu semasa pilihanraya nanti.

Terdahulu, Menteri Di Jabatan Perdana Menteri (Tugas-Tugas Khas), Datuk Seri Mohd Redzuan Md Yusof berkata sumbangan dibuat atas dasar keperihatinan dan hubungan baik kedua-dua negara.

Katanya, ini ekoran negara berkenaan yang telah memohon bantuan daripada Malaysia dan kerajaan telah bersetuju untuk memberi bantuan setelah diputuskan dalam mesyuarat kabinet semalam.

Bantuan berkenaan juga katanya, disalurkan atas dasar kemanusiaan.

“Inilah contoh kera di hutan disusukan, anak di rumah mati kelaparan. Yang ada kat Malaysia ini bukan manusia ke smpai tak dapat faham maksud misi kemanusiaan tu?,” selar pengguna lain.