Rakyat Malaysia bertambah matang menilai ancaman memecahbelahkan perpaduan, kata PM

Rakyat Malaysia bertambah matang menilai ancaman memecahbelahkan perpaduan, kata PM

Seiring dengan negara mencapai kematangan, Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad, yakin rakyat di negara ini bertambah matang dalam menilai dan membuat pendirian apabila berhadapan ancaman yang mahu memecahbelahkan perpaduan.

Dr Mahathir berkata, kematangan itu juga akan menjadi pendorong kepada hasrat kerajaan untuk memajukan negara agar kemakmuran yang dicapai akan dapat dinikmati bersama.

“Negara kita sudah menjangkau 62 tahun tanpa genggaman dan kuasa penjajah. Walaupun kadang-kadang timbul suara sumbang yang mahu menggugat ketenteraman antara rakyat dengan menimbulkan isu perkauman, rakyat Malaysia secara keseluruhannya menolak fahaman sempit sedemikian dan tetap berpegang kepada prinsip tolak-ansur dan hormat menghormati.

“Persefahaman yang telah dipupuk sejak Merdeka ini lah yang mampu menjayakan agenda nasional bertujuan untuk memakmur dan memajukan rakyat dan negara.

“Saya harap agar perhimpunan kita ini akan memyemarakkan lagi semangat kita untuk sama-sama melipat gandakan usaha ke arah menjadikan Malaysia sebagai sebuah negara yang disegani dan dihormati di mata dunia,” katanya.

Beliau berkata demikian dalam ucaptama perasmian Pelancaran Bulan Kebangsaan dan Kibar Jalur Gemilang 2019, di Dataran Pahlawan Banda Hilir, malam ini.

Turut hadir, Menteri Komunikasi dan Multimedia yang juga Pengerusi Jawatankuasa Induk Sambutan Bulan Kebangsaan 2019, Gobind Singh Deo dan Ketua Menteri, Adly Zahari.

Sementara itu, Perdana Menteri turut menzahirkan kebimbangan kerana generasi muda hari ini hidup dengan penuh keselesaan sehingga mereka tidak sedar betapa banyak pengorbanan yang dilakukan untuk membawa negara ke tahap hari ini.

Dr Mahathir berkata, sebahagian daripada mereka menjadi generasi yang lupa akan perjalanan dan perjuangan bangsa kerana bagi mereka, keadaan selesa ini adalah biasa dan masalah negara bukanlah tanggungjawab mereka.

“Persepsi seperti inilah yang boleh meruntuhkan negara maka semangat patriotisme dan jati diri perlu dipupuk dalam diri generasi muda kerana keperibadian mereka mencerimankan keperibadian negara pada masa kini dan akan datang,” katanya lagi.

Pelancaran Bulan Kebangsaan dan Kibar Jalur Gemilang 2019 itu bertemakan ‘Sayangi Malaysiaku: Malaysiaku Bersih’ memilih Melaka berikutan Banda Hilir pernah menjadi lokasi pengisytiharan kemerdekaan negara pada 20 Februari 1956.