Malaysia Dateline

Rakyat Malaysia di Singapura: PH gesa Hishamuddin beri penjelasan

Menteri Luar, Datuk Seri Hishammuddin Hussein perlu memberi penjelasan segera berhubung dakwaan rakyat Malaysia di Singapura yang terpaksa berbaris panjang untuk memohon pasport di Suruhanjaya Tinggi Malaysia di negara itu.

Majlis Setiausaha Pakatan Harapan berkata, paling tidak Hishamuddin dan kerajaan Perikatan Nasional (PN) sepatutnya menunjukkan rasa simpati terhadap rakyat Malaysia yang berada di sana.

Menurutnya, masalah itu boleh diselesaikan hanya sekiranya kerajaan menugaskan lebih ramai pegawai di suruhanjaya berkenaan.

“Pakatan Harapan memandang serius keadaan yang dihadapi rakyat Malaysia di Singapura.

“Masalah yang sedang dihadapi rakyat kita di Singapura boleh diselesaikan dengan menugaskan lebih ramai pegawai, selain menggunakan teknologi secara lebih bijak supaya warganegara boleh menyelesaikan masalah mereka secara online.

“Adalah amat memalukan bagi negara sekiranya teknologi tidak digunakan dengan cekap dalam hal-hal sebegini, pada tahun 2021,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Kenyataan tersebut dibuat bersama AMANAH, Khalid Samad; PKR, Datuk Seri Shamsul Iskandar; dan DAP Liew Chin Tong.

Terdahulu, portal The Straits Times (ST) yang berpangkalan di Singapura melaporkan beratus-ratus orang beratur untuk memperbaharui pasport mereka sejak awal pagi, sehingga terdapat warga emas dan pengguna kerusi roda perlu menunggu berjam-jam di bawah terik matahari.

Mereka berkata, cuti sekolah dari 13 hingga 21 Mac nampaknya memburukkan lagi keadaan, dengan ada yang mendakwa hanya sebilangan kecil permohonan yang dapat diproses setiap hari kerana “masalah teknikal”.

Penduduk tetap di sana juga mendakwa pernah menunggu lebih lima jam dan terpaksa hadir keesokan harinya untuk beratur seawal jam 5.30 pagi.

Sebelum ini, Suruhanjaya Tinggi Malaysia menghentikan semua permohonan langsung untuk pembaharuan pasport pada 30 Mac tahun lalu kerana pandemik Covid-19.

Ia hanya memberi keizinan semula pada Disember, tetapi sementara itu, permohonan dalam talian masih diproses dengan tarikh siap ditetapkan untuk mengambil pasport baharu.

Sementara itu, Pakatan Harapan menegaskan bahawa ekonomi negara perlu dipacu secara dinamis terutamanya di saat ini agar rakyat Malaysia yang mencari rezeki di luar negara akan tertarik untuk kembali.