Rakyat Malaysia dianggap maju jika tolak amalan rasuah

Rakyat Malaysia dianggap maju jika tolak amalan rasuah

Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad berkata Malaysia dan rakyat Malaysia hanya boleh menganggap diri mereka maju apabila mereka menolak rasuah dan menghentikan amalan itu.

Beliau berkata Malaysia perlu memberi perhatian serius kepada isu rasuah jika mereka mahu berada dalam ranking negara maju dan muncul semula sebagai “Harimau Asia.”

“Kita tidak boleh mencapainya dengan mengambil jalan pintas untuk berjaya,” kata beliau ketika menyampaikan ucaptama pada majlis penyampaian Anugerah Kecemerlangan Antarabangsa Sheikh Tamim Bib Hamad Al-Thani 2018 di sini hari ini.

Turut hadir Emir Qatar Sheikh Tamim Hamad Al-Thani, dan tokoh-tokoh utama anti rasuah global iaitu Peguam Negara Qatar Dr Ali Fattais Al Marri, Pengarah Eksekutif Pejabat Pertubuhan Bangsa Bersatu mengenai Dadah dan Jenayah (UNODC) Yury Fedatov dan menteri kabinet Malaysia.

Dr Mahathir berkata Malaysia melakukan apa sahaja yang mampu bukan sahaja untuk melenyapkan apa yang dilabelkan sebagai “kleptokrasi” tetapi juga untuk mengingatkan semua di Malaysia bahawa rasuah bukan sesuatu yang boleh dibenarkan.

“Ia harus dipandang dengan rasa jijik dan benci,” kata beliau sambil menambah hanya dengan mengurangkan amalan rasuah, kerajaan dan negara boleh bergerak ke hadapan.

“Sudah tiba masanya untuk Malaysia berada dalam kelompok negara maju lagi berkebolehan dan biarlah dunia tahu bahawa kita adalah sebuah negara yang kuat menghormati demokrasi dan kedaulatan undang-undang,” kata beliau.

Dr Mahathir menarik perhatian bahawa rakyat Malaysia mesti memastikan bahawa usaha dijalankan untuk meningkatkan tadbir urus dan memperkenalkan inisiatif anti rasuah bertujuan menghentikan amalan rasuah dan penyalahgunaan kuasa.

Perdana Menteri menekankan bahawa rasuah adalah satu perkara sangat buruk yang boleh membawa kerosakan yang tidak boleh diperbaiki kepada masyarakat dan negara.

Justeru, bukanlah mereka yang melibatkan diri dalam rasuah yang patut kita sasarkan tetapi sebaliknya kita harus menyanjung mereka yang berusaha untuk memerangi rasuah setiap hari, “ kata beliau.

Dr Mahathir juga menegaskan bahawa Malaysia harus mempertahankan nilai-nilai intigriti dan tadbir urus yang baik di negara ini dan dalam mana-mana organisasi kerana amatlah penting untuk meningkatkan nilai dan standard mereka tanpa mengambil kira warna kulit atau kepercayaan.