Seorang rakyat Malaysia dilaporkan ditahan oleh pihak berkuasa Australia selepas disyaki terlibat dalam aktiviti penyeludupan membabitkan 100 kilogram (kg) dadah ke negara itu.
Polis Persekutuan Australia (AFP) menerusi kenyataan di laman Facebook berkata, individu terbabit didakwa di atas keterlibatannya di dalam kegiatan penyeludupan dadah transnasional.
Jelas AFP, siasatan pihaknya itu bermula pada 16 Oktober selepas pegawai Polis Pasukan Sempadan Australia (ABF) menemui beberapa bungkusan yang mencurigakan disembunyi di dalam peralatan komputer.
Konsainan peralatan komputer yang mencurigakan itu difahamkan masuk ke negara berkenaan melalui kargo udara daripada Malaysia.
Anggota ABF kemudian mengambil bungkusan tersebut untuk diuji sebelum keputusan mendapati bahan yang disembunyikan di dalam peralatan komputer berkenaan positif dadah jenis methamphetamine.
“Sebelum konsainan tersebut dihantar keluar ke alamat penghantaran iaitu sebuah unit simpanan di Kingsgrove (New South Wales, Sydney), kesemua dadah terlarang itu sudah dikeluarkan pihak AFP.
“Seorang lelaki dipercayai pemillik peralatan komputer itu kemudian ditangkap oleh pegawai AFP ketika menuntut barangan tersebut,” kata pihak berkuasa terbabit dalam hantaran dimuat naik di laman Facebook itu.
Warga Malaysia berusia 45 tahun itu didakwa atas satu pertuduhan memiliki kuantiti komersial dadah terkawal yang membawa hukuman penjara maksimum seumur hidup.
Menurut AFP, kesan penjualan dadah sebanyak 100 kg itu boleh menyebabkan kemudaratan yang meluas di mana kesan negatifnya dapat dirasakan masyarakat termasuk keganasan domestik.
Oleh yang demikian, pihaknya akan terus bekerjasama dan berkongsi maklumat dengan rakan sejawat di peringkat persekutuan serta negeri untuk membanteras kegiatan penyeludupan dadah ke Australia.
Baca juga: Rakyat tempatan jadi tentera upahan di Ukraine dipercayai masih hidup, enggan pulang ke Malaysia