Rakyat Malaysia harus berganding bahu menentang keganasan, kata Patriot

Rakyat Malaysia harus berganding bahu menentang keganasan, kata Patriot
Persatuan Patriot Kebangsaan (PATRIOT) menyeru orang ramai supaya bersama-sama menentang sebarang bentuk keganasan.
Presidennya, Datuk Mohd Arshad Raji berkata, orang ramai tidak seharusnya bertindak dalam menyebarkan berita yang berunsur kebencian atau pun mesej yang menentang sebarang pegangan agama.
Sebaliknya, katanya, rakyat seharusnya memainkan peranan dengan memberitahu pelaku supaya menghentikan sebarang bentuk provokasi yang berpotensi mencetuskan ketegangan.
“Kini, peranan Raja-Raja Melayu amat penting  dalam memanggil semua rakyat Malaysia tanpa mengira kaum, agama atau pun gabungan politik untuk sama-sama bersatu menentang keganasan.
“Saya lihat, hanya dengan usaha kolektif di antara kita semua, kita boleh menentang sebarang bentuk keganasan daripada berlaku dalam negara kita.
“Pihak saya juga menyeru agar perisikan tentera negara kita mempergiatkan usaha anti-keganasan dan bekerjasama melalui Majlis Keselamatan Negara (MKN) mengenai perkongsian maklumat risikan.
“Ini penting kerana menentang keganasan adalah tanggungjawab kita bersama.. jika ada mana-mana pihak yang gagal, ini bermakna seluruh negara gagal,” katanya menerusi satu kenyataan, hari ini.
Dalam pada itu, Mohd Arshad berkata, pihaknya turut menyeru Ketua Polis Negara dan juga anggota polis untuk mengawasi suspek atau pengganas.
“Dalam isu pengganas ini, pihak bertanggungjawab perlu sentiasa berjaga-jaga dengan memantau segala aktiviti mereka, sekali gus mencegah daripada berlakunya perkara yang tidak diingini.
“Hanya dengan usaha membanteras perbuatan pengganas, imej pasukan polis akan kembali pulih setelah Suhakam mendedahkan sesuatu yang kurang sedap didengar berkenaan badan beruniform itu baru-baru ini.
“Seluruh rakyat Malaysia mesti mengamalkan sikap menolak sebarang bentuk keganasan tanpa mengira siapa atau kumpulan agama yang melakukannya,” katanya lagi.