Malaysia Dateline

Rakyat Malaysia mempercayai kerajaan sekarang, menurut tinjauan antarabangsa

 

Tinjauan antarabangsa baru-baru ini menunjukkan, rakyat di negara ini, kini mempercayai pentadbiran di bawah kerajaan Pakatan Harapan (PH) berbanding pentadbiran setahun yang lalu.

Berdasarkan tinjauan tahunan Edelman Trust Barometer Global ke-19, mendapati indeks kepercayaan terhadap kerajaan Malaysia berubah daripada ‘tidak percaya’ (46) mata pada tahun sebelumnya kepada ‘dipercayai’ (60) mata.

“Selepas Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU-14) pada Mei tahun lalu, terdapat perubahan dalam Kerajaan Persekutuan apabila PH yang diketuai oleh Tun Dr Mahathir Mohamad, mengambil alih pemerintahan daripada Barisan Nasional.

“Dalam tinjauan itu, Malaysia memperoleh skor yang lebih baik berbanding negara lain, termasuk Afrika Selatan 21 mata, Brazil (28), Rusia (34), Jepun (39) dan Amerika Syarikat (40).

“Indeks satu hingga 49 diklasifikasikan sebagai kurang percaya, 50 hingga 59 adalah ‘neutral, manakala 60 hingga 100 adalah ‘mempercayai,” kata Edelman dalam laporan itu.

Edelman turut memberitahu, purata kepercayaan global dalam kerajaan adalah 47 mata, meningkat sebanyak tiga berbanding tahun lepas.

“Kepercayaan itu merupakan aset bernilai untuk semua institusi. Membina kepercayaan untuk jangka masa panjang harus menjadi salah satu keutamaan penting bagi setiap organisasi atau kerajaan.

“Namun, Malaysia masih berada di belakang jirannya iaitu Singapura dan Indonesia, masing-masing mencatat 67 dan 75 mata, dan China memperoleh skor tertinggi di kalangan 26 negara yang dikaji, iaitu 86 mata.” ujarnya.