Rakyat Malaysia sendiri terkejut lihat wang kertas terbesar di dunia! Tak sangka ada duit RM600 sekeping

Oleh MAISARAH AISYA

Hanya ada 6,000 keping dalam dunia, rupanya ramai tak tahu kewujudan wang kertas bernilai RM600.

Menerusi sambutan Ulang Tahun Ke-60 Perjanjian Kemerdekaan Persekutuan Tanah Melayu, Bank Negara Malaysia mengeluarkan wang kertas peringatan pada tahun 2017.

Nota RM600 Tunggal

Wang kertas bersaiz besar ini mempunyai nilai muka RM600 dan dijual pada harga RM1,700 setiap satu. Kuantiti yang dicetak adalah sebanyak 6,000 keping.

Tular semula wang kertas ini di TikTok BankNote World, dimana mereka menunjukkan tiga keping wang kertas terbesar di dunia.

Reka bentuk wang kertas dari muka hadapan diilhamkan oleh bulan sabit dan bintang persekutuan 14 mata yang dipaparkan pada perhiasan kepala diraja.

Melambangkan Malaysia sebagai sebuah monarki berperlembagaan, diletakkan di tengah adalah takhta diraja yang megah dikelilingi oleh potret 15 Yang di-Pertuan Agong yang telah memerintah dari tahun 1957 hingga kini.

Manakala, tempat kedua milik Filipina 100,000 peso dikeluar pada tahun 1998 dan ditempat ketiga adalah Fiji 2,000 yang dikeluarkan pada tahun 2000.

Rata-rata netizen di Malaysia mengakui terkejut kerana tidak pernah melihat wang kertas tersebut dan tidak sedar akan kewujudan ia.

“Apa? Sedangkan aku yang dari Malaysia pun tak tahu kewujudan RM600 ni.

“RM600 tu betul-betul wujud cuma ia adalah edisi terhad, ramai pengumpul yang beli dan jual balik pada harga cecah puluh ribu.

“Masa lancar hari tu ingatkan sama saiz dengan duit RM50, tak sangka pula paling besar di dunia, mesti mahal ni,” antara komen netizen.

Baca juga: Nissan bakal gulung tikar, banyak kenangan dengan jenama kereta ini