Malaysia Dateline

Rakyat Malaysia tak pernah ‘protest’, kenapa nak darurat, tanya Mahathir

Bekas Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad berkata, rakyat Malaysia tidak pernah membuat himpunan tunjuk perasaan di jalan sehingga menyebabkan kerajaan perlu melaksanakan darurat.

Beliau berkata, apa sahaja arahan kerajaan sepanjang tempoh membendung penularan wabak Covid-19, semuanya dipatuhi dan dituruti dengan baik oleh rakyat.

Menurutnya kerajaan sendiri sudah mempunyai begitu banyak kuasa untuk menangani jangkitan berkenaan dan tidak seharusnya meletakkan negara dalam keadaan darurat.

“Sebenarnya kerajaan mempunyai cukup kuasa untuk menangani Covid-19. Kita bukan seperti negara lain di mana rakyat mereka tunjuk perasaan menentang arahan kerajaan.

“Di Malaysia tidak begitu. Tidak perlu sehingga laksana darurat.

“Apa sahaja yang diarahkan kerajaan, kita buat. Kita tak turun berhimpun di jalan,” katanya ketika temu bual di Radio BFM pagi tadi.

Sementara itu, Mahathir juga menyifatkan Tan Sri Muhyiddin Yassin sebagai diktator yang menggunakan sepenuh kuasa mengisytiharkan darurat agar kedudukannya terus terjamin.

“Ini seperti diktator. Dia menggunakan darurat supaya kekal berkuasa tanpa satu badan pun yang dapat menegur.

“Tetapi dia tak banyak menyumbang untuk memulihkan negara, ekonomi merundum dan rakyat juga menderita dengan pelaksanaan ini,” katanya lagi.