Rakyat Malaysia terlalu pemurah, pengemis OKU warga China raih RM10,000 sebulan

Oleh MALAYSIADATELINE

Sikap rakyat Malaysia yang terlalu pemurah dipercayai menjadi antara punca aktiviti mengemis semakin berleluasa di pasar-pasar malam sekitar Johor Bahru.

Difahamkan, sindiket pengemis warga asing ini mengambil kesempatan atas simpati daripada pengunjung pasar malam berkenaan untuk meraih pendapatan yang cukup lumayan.

Pengarah Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) Johor, Datuk Mohd. Rusdi Mohd. Darus berkata, pengemis yang bermodalkan kekurangan fizikal seperti tiada tangan atau kaki ini mampu memperoleh pendapatan mencecah RM10,000 sebulan.

Menurutnya, helah sindiket tersebut terbongkar setelah pihaknya berjaya menahan seramai empat pengemis orang kurang upaya (OKU) menerusi Ops Serkap yang dijalankan di pasar malam di negeri itu, baru-baru ini.

Kegiatan mengemis yang dilakukan oleh warga asing ini dipercayai dilakukan secara berkumpulan dan sentiasa berpindah-randah bagi mengaburi mata pihak berkuasa, lapor Kosmo.

“Sikap pemurah rakyat Malaysia menyebabkan mereka lebih agresif meminta wang. Hanya bermodalkan kekurangan fizikal serta cacat anggota, pengemis warga asing ini mampu meraih pendapatan sehingga RM10,000 sebulan.

“Kegiatan mereka ini dipercayai diatur satu sindiket dan dilakukan secara berkumpulan selain sering berpindah randah. Semasa operasi dilakukan, terdapat cubaan melarikan diri ke Ipoh, Perak dengan menaiki bas,” katanya memetik Kosmo.

Antara pengemis yang ditahan dalam operasi Ops Serkap dijalankan pada Isnin lalu.

Mengulas lanjut, Mohd. Rusdi memaklumkan kesemua pengemis yang ditahan itu berusia antara 36 hingga 67 tahun dan pihaknya turut merampas wang tunai berjumlah lebih RM9,000 dipercayai merupakan hasil mengemis.

Kesemua lelaki warga China itu didapati telah melakukan kesalahan di bawah Seksyen 6(1)(c) Akta Imigresen 1959/63 (Akta 155) kerana tidak memiliki sebarang pas atau permit yang sah untuk berada di Malaysia dan Seksyen 15(1)(c) Akta Imigresen 1959/63 ekoran tinggal lebih masa.

Baca juga: Makanan di Hatyai rupanya tak semurah dicanang pelancong Malaysia, lelaki ini dedah realiti sebenar