Malaysia Dateline

Rakyat Malaysia terpaksa lupakan hasrat beli rumah jika tiada pelan tindakan atasi harga bahan binaan

Beberapa langkah positif perlu diambil kerajaan bagi mengatasi harga bahan binaan jika tidak rakyat Malaysia nampaknya terpaksa lupakan hasrat beli rumah.

Baru-baru ini, akhbar The Star melaporkan harga rumah dijangka naik 5-20% menjelang akhir tahun akibat bahan binaan yang lebih mahal.

Justeru, jika kerajaan tidak mengambil langkah proaktif sesegera mungkin, ramai rakyat Malaysia akan terpaksa melupakan hasrat membeli rumah mampu milik, dan ini termasuk rumah yang berharga di bawah RM70 ribu kerana akhirnya tidak lagi dapat dibina kerana kos yang tinggi.

Sepertimana di kawasan saya Permatang Pasir, terdapat pembinaan rumah bantuan kerajaan atau GLC yang lambat dibina kerana ditolak oleh kebanyakan kontraktor kerana isu margin untung yang amat kecil ekoran kenaikan harga bahan binaan.

Perlu ada langkah-langkah segera bagi menyelamatkan industri pembinaan tempatan demi kesejahteraan sosio-ekonomi rakyat Malaysia.

Rakyat Malaysia terpaksa lupakan hasrat beli rumah jika tiada pelan tindakan atasi harga bahan binaan
Kos bina rumah akan meningkat disebabkan harga bahan binaan yang terlalu mahal

Kenaikan kos bahan binaan perlu dikawal dengan dasar yang sesuai bagi memastikan impak kenaikan kos dapat dikurangkan dengan signifikan.

Beberapa langkah positif perlu diambil iaitu;

1.Menghentikan aktiviti monopoli import bahan binaan, terutamanya besi, untuk menstabilkan harga bahan binaan.
Sistem lesen import (AP) perlu diliberalisasikan supaya campurtangan sesetengah kroni yang menjana “untung atas angin” dapat dibendung dan harga bahan binaan seperti besi dapat dikurangkan.

2.Pihak pemaju perumahan dikecualikan daripada menanggung kos “contribution & compliance” yang tidak munasabah.
Misalnya, kos pembinaan pencawang elektrik dan paip air utama sepatutnya ditanggung oleh TNB dan syarikat pengurusan air negeri. Adalah tidak relevan jika para pemaju dipaksa menanggung kos “contribution & compliance” padahal syarikat berteraskan keuntungan seperti TNB sepatutnya dapat menyerap kos sedemikian.

Langkah sebegini adalah penting kerana jika pihak pemaju tidak lagi menanggung kos sebegini (iaitu 25-30% daripada kos keseluruhan menurut timbalan presiden SP Setia Bhd Datuk Seri Koe Peng Kang), kenaikkan kos bahan binaan dapat diuruskan dengan lebih baik. Pihak pemaju tidak lagi perlu menaikkan harga rumah kerana kos tambahan bahan binaan dapat diserap.

Peningkatan mendadak kos bahan binaan di Malaysia adalah sangat membimbangkan. Jika ini berterusan, dikhuatiri banyak kontraktor pembinaan tempatan, terutamanya syarikat Bumiputera bersaiz kecil, terpaksa gulung tikar.
Lebih membimbangkan, kenaikan kos bahan binaan ini akhirnya akan meningkatkan harga rumah dan seterusnya menghalang ramai rakyat Malaysia membeli rumah.

Pada bulan Mei 2022, data Jabatan Perangkaan menunjukkan Indeks Kos Bahan Binaan (IKB) telah melonjak 7.8-15.6% di Semenanjung berbanding bulan sebelumnya. Manakala di Sabah, IKB meningkat 4.9-21.2%, dan di Sarawak, 4.9-21.4%.

Kontraktor pembinaan tempatan dihimpit kos yang tinggi, pada ketika industri itu menghadapi masalah kekurangan pekerja.

Walaupun masalah-masalah ini telah berlanjutan untuk berbulan lamanya, kerajaan UMNO-Bersatu-Pas masih gagal mengambil langkah-langkah berkesan untuk menyelesaikan isu berkenaan.

Adakah kerajaan hanya akan bertindak apabila semakin banyak kontraktor gulung tikar? Justeru, kerajaan perlu jelaskan apakan pelan tindakan mengatasi masalah ini bagi membantu kepentingan kontraktor kecil yang kebanyakannya orang Melayu.

Baca juga: PH beri masa 24 jam kepada kerajaan tangani isu subsidi, kos sara hidup rakyat

Baca juga: Malaysia ada banyak cuti umum tapi mengada-ngada nak kerja 4 hari je