Rakyat Malaysia wajib halang Umno menang PRU15-Mandat PRU14 masih ada hingga Mei 2023

Oleh NASUHA RAHMAN

Rakyat Malaysia wajib menghalang Umno dari memenangi pilihan raya umum (PRU) ke-15 yang akan datang kerana sememangnya agenda mereka tidak lain hanyalah bagi menyelamatkan kluster mahkamah. 

Naib Pengerusi 1, AMANAH Pulau Pinang, Dr Zaidi Zakaria berkata, tempoh mandat PRU ke-14 masih berbaki lapan bulan iaitu sehingga bulan Mei 2023.

Sehubungan itu jelas beliau tiga bulan terakhir tahun 2022 bukanlah masa yang sepatutnya PRU diadakan. 

“Umno harus dihalang dari memenangi PRU yang akan datang kerana ketara dan jelas bahawa Presiden Umno, walaupun dilepaskan dari 40 pertuduhan isu visa asing, beliau harus ingat bahawa ia sedang membela diri terhadap 47 lagi pertuduhan membabitkan Yayasan Akal Budi. 

“Selain itu, mantan Presiden Umno dan juga merupakan bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak perlu ingat selepas beliau didapati bersalah melibatkan isu RM42 juta SRC, kini ia turut berhadapan isu yang lebih besar iaitu 1MDB.

“Adalah diyakini itulah sebenarnya mengapa desakan demi desakan dibuat oleh Umno supaya PRU-15 disegerakan walaupun mereka menyedari musim tengkujuh dan banjir yang begitu hampir akan memberi kesan yang amat buruk kepada  mangsa banjir dan harta benda,” ujar beliau ketika dihubungi. 

Baca juga: Bubar Parlimen di musim monsoon banjir – demi kepentingan Umno atau kepentingan negara?

Baca juga: Pemilik Kelantan FC mahu beri tanah kepada pemain terbaik sebagai bonus